Sarawak teroka peluang kerjasama dengan Boeing di Jepun, sejajar matlamat tubuh syarikat penerbangan sendiri | DagangNews Skip to main content

Sarawak teroka peluang kerjasama dengan Boeing di Jepun, sejajar matlamat tubuh syarikat penerbangan sendiri

KUALA LUMPUR 17 Dis - Kerajaan Sarawak sedang meneroka peluang kerjasama baharu dengan syarikat penerbangan terkemuka Boeing di Jepun, dengan fokus kepada sektor penerbangan dan pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF).

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, inisiatif itu juga sejajar dengan matlamat negeri untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri.

 

Katanya, Sarawak turut memberi tumpuan aktif kepada pengeluaran SAF sebagai bahan api alternatif untuk industri penerbangan melalui penyelidikan bersama dengan Chitose Group dan kerjasama dengan Eneos Corporation dalam pengeluaran hidrogen.

 

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan cawangan Boeing di Jepun dan mereka mengemukakan beberapa cadangan. Boeing berperanan sebagai hab utama untuk pembangunan penerbangan yang melibatkan pesawat mereka selain mempunyai perkongsian dengan Boeing di Singapura serta rangkaian di seluruh Asia Tenggara.

 

"Hari ini, kami meneroka peluang kerjasama antara Boeing dan Sarawak ketika kami berusaha untuk menubuhkan syarikat penerbangan kami sendiri," katanya selepas pertemuan dengan Presiden Boeing Jepun, Eric G. John, di ibu pejabat syarikat tersebut di Tokyo, Jepun, hari ini seperti laporan The Borneo Post.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, rangkaian kerjasama baharu yang sedang dibangunkan dan penyelidikan berkaitan masih berada di peringkat awal.

 

"Kami akan melihat apa yang boleh dilakukan bersama, terutamanya dalam bidang SAF dan tenaga boleh diperbaharui," ujarnya.

 

Sementara itu, Boeing Jepun menyambut baik peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dengan John menyatakan keterujaannya bertemu Abang Johari dan memuji visi jelas Premier tersebut untuk penerbangan mampan dan pembangunan SAF.

 

Beliau mengulangi komitmen Boeing untuk menyokong visi Sarawak bagi masa depan sektor penerbangan.

 

"Kami sangat teruja bertemu Premier Sarawak. Visi beliau untuk penerbangan mampan dan bahan api mampan di Malaysia sangat mengagumkan," kata John.

 

Beliau juga membincangkan peluang-peluang yang berpotensi untuk pertumbuhan Boeing di Sarawak, meneroka cara untuk menyumbang kepada matlamat negeri berkenaan.

 

Turut mengiringi Abang Johari dalam delegasi ke Jepun ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dan pegawai-pegawai kanan lain. - DagangNews.com