KUALA LUMPUR 11 Dis - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (Kumpulan CGC) dan CGC Digital Sdn. Bhd. untuk meningkatkan akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) kepada rumusan pembiayaan pasaran modal.
MoU tiga tahun itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Lima Tahun SC (2024-2028) yang bertujuan untuk memangkin akses PMKS dan MTC kepada pasaran modal.
Ia ditandatangani oleh Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, PCEO Kumpulan CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital Sdn. Bhd, Yushida Husin.
Melalui kerjasama dengan Kumpulan CGC, inisiatif berkenaan akan memanfaatkan kepakaran mereka dalam jaminan pembiayaan serta rangkaian kukuh dalam sektor PMKS.
Fokus utama kerjasama tersebut adalah meningkatkan akses PMKS dan MTC kepada rumusan pembiayaan pasaran modal melalui platform imSME CGC yang memadankan PMKS dan MTC dengan pengendali pembiayaan rakan setara (P2P).
Selain itu, ia juga menyokong pengurangan risiko pelaburan PMKS dan MTC dengan menyediakan jaminan kredit serta melanjutkan jaminan kredit kepada rumusan pasaran modal tambahan.
Sejak penubuhannya pada tahun 1972, CGC telah menyediakan jaminan dan pembiayaan bernilai lebih RM98.31 bilion, memanfaatkan lebih 538,000 PMKS.
Mohammad Faiz berkata, kerjasama itu bertujuan menghubungkan PMKS dan MTC dengan rumusan pasaran modal yang khas untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka.
"Dengan memanfaatkan jaminan kredit Kumpulan CGC, keyakinan pelabur menjadi lebih tinggi, seterusnya meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk perniagaan-perniagaan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zamree berkata, MoU itu merupakan satu pencapaian penting dalam memajukan akses pasaran modal untuk perniagaan Malaysia.
"Ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi CGC Group untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan perniagaan Malaysia.
"Dengan menjalin pakatan bersama institusi yang terkenal dan bereputasi tinggi seperti SC, kerjasama ini akan meningkatkan trajektori pertumbuhan transformatif sambil menangani halangan yang dihadapi oleh perniagaan di Malaysia yang kurang dilayani," ujarnya.
Yushida menambah, kerjasama berkenaan merupakan langkah penting dalam meningkatkan imSME sebagai platform rujukan utama Malaysia, mengubah ekosistem pembiayaan digital dan memacu kebolehcapaian yang lebih besar untuk perniagaan di seluruh negara. - DagangNews.com