Scientex raih untung bersih RM545.2 juta, pendapatan RM4.5 bilion pada FY2024 | DagangNews Skip to main content

Scientex raih untung bersih RM545.2 juta, pendapatan RM4.5 bilion pada FY2024

Bahagian hartanah Scientex di seluruh Semenanjung Malaysia terus mencatatkan prestasi kukuh pada FY24. -Gambar hiasan Scientex
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Sept - Scientex Berhad meraih untung bersih sebanyak RM545.2 juta pada tahun kewangan 2024 (FY24) yang berakhir 31 Julai, lonjakan sebanyak 24.4% berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar pembungkusan dan pemaju hartanah itu berkata, pendapatan pada FY24 pula naik 9.8% kepada RM4.5 bilion daripada RM4.08 bilion pada FY23.

 

Kata Kumpulan itu, prestasi yang baik ini didorong terutamanya oleh permintaan yang kukuh dalam bahagian hartanah, yang mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 29.7% tahun ke tahun kepada RM1.9 bilion.

 

"Ini disokong oleh jualan yang lebih tinggi, kadar pengambilan yang kukuh bagi pelancaran hartanah baru dan kemajuan pembinaan yang stabil pada projek yang sedang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya hari ini.

 

Menurut Scientex, segmen pembungkusan pula kekal stabil, menyumbang kepada keputusan positif keseluruhan dengan pendapatan sebanyak RM2.6 bilion walaupun berhadapan dengan landskap global yang mencabar.

 

Sementara tu, dalam suku keempat yang berakhir pada 31 Julai 2024 (4QFY24), pendapatan meningkat sebanyak 9% tahun ke tahun kepada RM1.2 bilion, manakala keuntungan bersih berkembang 18.2% kepada RM135.9 juta. 

 

Pertumbuhan ini terutamanya disumbangkan oleh bahagian hartanah, di mana pendapatan meningkat 14.4% kepada RM517.0 juta berikutan kemajuan pembinaan yang stabil dan permintaan kukuh untuk pelancaran baru di Bandar Jasin, Rawang, Kundang, Sungai Petani, Tasek Gelugor, dan Pulai.

 

DTL
Bahagian hartanah Scientex terus catatkan prestasi kukuh pada FY24. -Gambar hiasan Scientex

 

ARTIKEL  BERKAITAN: Untung bersih Scientex Packaging bagi FY24 susut 9.4% kepada RM32.55 juta

 

 

Bahagian pembungkusan juga menyumbang kepada keputusan positif ini, dengan pendapatan meningkat 5.1% kepada RM651.3 juta dalam 4Q24, didorong oleh pertumbuhan dalam jualan produk pembungkusan industri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin dalam kenyataan berasingan berkata, FY24 adalah tahun ketahanan dan pelaksanaan strategik bagi Kumpulan. 

 

Walaupun menghadapi pasaran global yang mencabar, beliau berkata, bahagian pembungkusan menyesuaikan diri dengan cabaran, mengekalkan pendapatan yang stabil sambil mengutamakan kecekapan operasi. 

 

"Sementara itu, bahagian hartanah kami telah mencapai kemajuan yang ketara dalam menyediakan perumahan yang lebih mampu milik dan memperluas jangkauan kami dengan pelancaran projek baru di beberapa negeri.

 

"Melihat ke hadapan, kami berada pada kedudukan baik untuk mencapai pertumbuhan yang mampan. Ini akan disokong oleh fokus bahagian pembungkusan kami terhadap penyelesaian inovatif dan lestari, serta pengambilalihan tanah strategik dan saluran pelancaran baru oleh bahagian hartanah kami. 

 

"Bersama-sama, strategi ini akan memperkukuhkan kepimpinan pasaran kami dan mencipta nilai jangka panjang,” ujarnya.- DagangNews.com