KUALA LUMPUR 11 Dis - Selepas berjaya dalam bidang pembinaan dan pembangunan hartanah, Gamuda Bhd berminat untuk menjadikan infrastruktur digital sebagai perniagaan teras ketiganya, kata MIDF Research.
Selain terlibat dengan pembinaan pusat data, firma penyelidikan itu percaya, jalinan kerjasama dengan Dagang Nexchange Bhd (DNeX) dan pemerolehan kepentingan dalam Cloud Space akan membolehkan Gamuda memanfaatkan gelombang Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin meningkat.
Terdahulu, kumpulan itu memeterai perjanjian untuk memperoleh 20% kepentingan dalam Cloud Space Sdn Bhd bernilai sehingga RM18 juta yang akan diagihkan dalam tiga peringkat.
Cloud Space merupakan Rakan Kongsi Perdana Google Cloud yang menyediakan rumusan dan perkhidmatan untuk Google Cloud, Google Workspace, Chrome Enterprise dan Google for Education, kepada sektor kerajaan dan swasta di Malaysia.
"Gamuda akan mempunyai hak utama membentuk sebarang perkongsian ekuiti dengan Cloud Space untuk mana-mana projek awan berskala besar baharu di Malaysia, dengan pegangan ekuiti minimum 50%.
ARTIKEL BERKAITAN: DNeX bekerjasama dengan Gamuda sediakan rumusan Google Distributed Cloud kepada sektor awam, swasta
"Pengambilalihan itu bertujuan mempercepatkan cita-cita digitalnya dalam teknologi awan dan AI, sambil menambah bahawa kepakaran mendalam Cloud Space dalam kejuruteraan awan, menambah teknologi dalaman dan keupayaan digital Gamuda dalam menyampaikan projek kejuruteraan dan pembinaan kompleks berskala besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Semalam, kumpulan itu menerusi Gamuda Technologies Sdn Bhd menjalinkan perkongsian strategik dengan DNeX Solutions Sdn Bhd untuk membentuk kerjasama 50:50 yang akan menyampaikan perkhidmatan Google Distributed Cloud air-gapped services (perkhidmatan GDC) kepada pelanggan sektor kerajaan dan swasta.
Firma penyelidikan itu yakin dengan usaha Gamuda ke dalam ruang infrastruktur digital, memanfaatkan kekuatan daripada Akademi AI miliknya.
Katanya, Gamuda kekal menjadi pilhan utama dalam sektor pembinaan, disokong rancangan pembesaran luar negara serta konsistensinya dalam merangkul pekerjaan yang besar dan ia menjadi pilihan untuk kebanyakan projek mega di Malaysia.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM10.68 sesaham," katanya.- DagangNews.com