KUALA LUMPUR 20 Jan - Pertumbuhan NationGate Holdings Bhd dan PIE Industrial Bhd berpotensi terjejas berikutan keputusan Amerika Syarikat (AS) menigkatkan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI), kata Affin Hwang Investment Bank Research.
Katanya, pada minggu lalu, kerajaan AS mengeluarkan peraturan akhir interim mengenai penyebaran AI dengan sekatan baharu ke atas eksport cip AI.
Firma penyelidikan tu berkata, negara dibahagikan kepada tiga peringkat, rangka kerja menggariskan akses yang berbeza-beza kepada cip AI dan had ketat untuk pembelian unit pemprosesan grafik (GPU) untuk setiap kategori.
Malaysia bersama-sama dengan majoriti negara berada di bawah sekatan peringkat kedua, yang menetapkan tahap maksimum kuasa pengkomputeran yang boleh pergi ke mana-mana negara - bersamaan dengan kira-kira 50,000 unit pemprosesan grafik (GPU) bersamaan H100, dari 2025 hingga 2027.
Affin Hwang berkata, ia berkemungkinan mengehadkan kumpulan pelanggan untuk pengeluar pelayan AI di negara peringkat dua, dan mereka perlu menumpukan perhatian bagi memastikan perniagaan dengan pemilik pusat data skala besar AS yang berkemungkinan layak untuk status Pengguna Akhir Disahkan Universal (UVEU), atau entiti di negara peringkat dua yang berkemungkinan layak untuk Pengguna Akhir Disahkan Kebangsaan (NVEU).
Negara yang layak untuk UVEU dan NVEU pada dasarnya akan dapat mengatasi had cip nasional, membolehkan mereka mengimport dan menggunakan lebih banyak cip AI untuk infrastruktur mereka.
"Memandangkan kapasiti AI yang terhad dan ini merupakan langkah nasionalistik oleh Amerika Syarikat (AS), kami berpendapat bahawa selera para hiperskala AS untuk menggunakan infrastruktur besar di luar negara, terutamanya di negara peringkat dua, mungkin terhalang, dengan kemungkinan mengecilkan semula rancangan pelancaran mereka,” katanya dalam satu nota kajian.
Affin Hwang berkata, terdapat juga risiko di mana entiti di negara peringkat dua mungkin menghadapi masa pemprosesan yang lebih lama daripada yang dijangkakan untuk menerima kelulusan bagi status NVEU, atau gagal untuk diluluskan untuk status tersebut.
“Jika permintaan daripada entiti berstatus UVEU dan NVEU tidak dapat menampung pangkalan pelanggan yang lebih kecil yang disebutkan di atas atau mengimbangi kehilangan pelanggan akibat sekatan, ia perlu dikembalikan kepada peruntukan negara individu sebanyak 50,000 GPU atau 100,000 GPU di bawah pengaturan kerajaan-ke-kerajaan, yang berkemungkinan akan menyekat kapasiti AI dan permintaan untuk pelayan AI terutamanya di negara peringkat dua,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan, potensi pertumbuhan syarikat dalam sektor perkhidmatan pembuatan elektronik di bawah liputannya yang terlibat dalam pengeluaran pelayan AI, iaitu NationGate dan PIE Industrial, mungkin terjejas.
Bagi NationGate, firma penyelidikan itu berkata manakala sasaran penghantaran pelayan AI kumpulan sebanyak 3,000 hingga 5,000 untuk tahun ini adalah kecil berbanding penghantaran pelayan AI global (kurang daripada 1% daripada 700,000 penghantaran pelayan AI global Daiwa tahun ini) dan berpotensi dicapai tahun ini, potensi pertumbuhan masa depannya mungkin dihadkan kerana permintaan pelayan AI di negara peringkat dua mungkin terjejas oleh sekatan tersebut.
"Walaupun PIE Industrial belum menerima kelayakan untuk pengeluaran pelayan, kumpulan itu menyasarkan untuk memulakan pengeluaran besar-besaran untuk pelayan tahun ini, dengan kelayakan mungkin akan bermula selepas Tahun Baru Cina kerana pelanggannya mencari lebih jelas daripada pelancaran dasar selepas pelantikan Donald Trump," katanya.
Affin Hwang mengekalkan saranan "pegang" untuk kedua-dua syarikat itu dengan harga sasaran (TP) RM2.27 and RM5.68 sesaham. - DagangNews.com