Sektor sarung tangan getah raih momentum positif didorong kesan kenaikan tarif AS kepada China, kata Phillip Capital | DagangNews Skip to main content

Sektor sarung tangan getah raih momentum positif didorong kesan kenaikan tarif AS kepada China, kata Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Dis - Sektor sarung tangan sedang menerima momentum positif didorong pertumbuhan pendapatan berterusan serta kesan daripada kesan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan terhadap pembuat sarung tangan China.

 

Phillip Capital berkata, kenaikan tarif itu membantu pengeluar sarung tangan getah tempatan meraih semula bahagian pasaran global.

 

"Kami meramalkan pemulihan kukuh dalam pendapatan bagi syarikat sarung tangan getah kerana dinamik pasaran yang bertambah baik dijangka memacu pemulihan yang berterusan dalam jumalah jualan dan purata harga jualan (ASP)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tumpuan utama untuk 2025 akan kekal pada tahap pemulihan pendapatan dalam kalangan pembuat sarung tangan, trend volum jualan, peluang untuk ASP yang lebih tinggi dan garis masa untuk kapasiti pentauliahan semula.

 

Selain itu, katanya, pelabur harus memantau dengan teliti perkembangan dalam ketegangan perdagangan AS-China, kerana ini boleh memberi implikasi yang ketara kepada sektor sarung tangan.

 

"Ini amat relevan kerana AS telah menyemak semula dasar tarifnya ke atas sarung tangan getah untuk kegunaan perubatan dan pembedahan.

 

"Pada mulanya ditetapkan untuk meningkat daripada 7.5% kepada 25% menjelang 2026, tarif kini dijadualkan meningkat kepada 50% pada 2025, dengan kenaikan kepada 100% menjelang 2026.

 

"Kami meramalkan pemulihan kukuh dalam pendapatan bagi syarikat sarung tangan getah kerana dinamik pasaran yang bertambah baik dijangka memacu pemulihan yang berterusan dalam volum jualan dan ASP," katanya.- DagangNews.com