KUALA LUMPUR 4 Dis - Sektor teknologi Malaysia diyakini dapat menarik semula minat pelabur pada tahun hadapan didorong penilaian yang munasabah serta prospek jangka panjang positif.
AmInvestment Bank Research berkata, walaupun sektor itu kurang mendapat perhatian pelabur berbanding tahun-tahun sebelumnya, beberapa faktor akan menyumbang kepada pemulihannya.
Katanya, indeks yang lebih luas berada di landasan untuk menutup 2024 dengan prestasi terbaiknya sejak 2013, dengan kebanyakan sektor mencapai prestasi yang baik.
"Walaupun terdapat nilai dalam sektor ini, kami menasihatkan pelabur untuk menjadi selektif. Jangkaan pendapatan yang tinggi kekal sebagai risiko utama.
"Kami berpandangan situasi terburuk telah berakhir tetapi pemulihan seterusnya mungkin berlaku secara beransur-ansur, oleh itu kami menyukai saham dengan kepastian pendapatan atau yang mempunyai jangkaan yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek kenaikan tarif di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump buat kali kedua akan merangsang aktiviti penjajaran semula rantaian bekalan.
Beliau telah mengumumkan tarif 25% ke atas produk import dari Mexico dan Kanada dengan tarif tambahan 10% ke atas import China.
"Kami menjangkakan untuk melihat lebih banyak aktiviti pembuatan di AS," katanya.
AmInvestment menyukai syarikat teknologi Malaysia yang dijalankan dan dimiliki sendiri kerana syarikat seperti itu mempunyai visi jangka panjang yang jelas, sesuai dengan kategori ini
"ViTrox Crop Bhd mempunyai pasukan pengurusan yang kukuh, kepimpinan produk dan kepelbagaian pelanggan.
"Malaysian Pacific Industries Bhd berada pada kedudukan yang baik untuk menikmati pertumbuhan melebihi purata dalam jangka sederhana, disebabkan pendedahannya yang tinggi dalam segmen automotif dan perindustrian," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor teknologi Malaysia.- DagangNews.com