KUALA LUMPUR 3 Dis - Pendapatan Sime Darby Property Bhd diramal melonjak menjelang 2027 didorong sumbangan daripada kadar sewaan pusat datanya, kata penganalisis.
RHB Investment menjangkakan dua projek pusat data kumpulan untuk Pearl Computing Malaysia, akan membawa RM380 juta dalam pendapatan sewa setahun, diterjemahkan kepada RM170 juta hingga RM180 juta dalam keuntungan bersih tahunan.
Katanya, ia adalah adalah lebih 30% daripada ramalan pendapatan untuk FY24, menunjukkan pendapatan Sime Darby Property bermula 2027 akan mengalami lonjakan apabila kedua-dua pusat data memberi sumbangan pada masa sama.
"Kami menganggarkan pelaburan Google untuk fasa dua boleh mencecah nilai RM4 bilion hingga RM5 billion kerana kapasitinya mungkin sekitar 200MW hingga 250MW, berdasarkan saiz tanah dan nilai jumlah sewa.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.33 sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, perjanjian pusat data RM5.6 billion yang diumumkan semalam adalah "kejutan positif" walaupun sebahagiannya termasuk dalam harga sahamnya.
"Berdasarkan perjanjian pertama, difahami ia menelan kos kira-kira RM815 juta untuk pembinaan, penyiapan, ujian dan pentauliahan pusat data hiperskala, kami menganggarkan pusat data kedua boleh menelan belanja kira-kira RM3 bilion untuk dibina," katanya degan firma itu mengekalkan saranan "neutral" dengan TP, RM1.45 sesaham.
Sime Darby Property berkata, mereka telah menandatangani perjanjian pajakan 20 tahun kemudahan pusat data kepada Pearl Computing Malaysia, sehingga RM5.6 bilion, bermula seawal 2027.
Perjanjian itu adalah di atas anggaran RM2 bilion perjanjian pusat data pada Mei 2024, juga ditandatangani dengan Pearl Computing, unit milik penuh Raiden APAC Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, yang dimiliki oleh Google.
Perjanjian bina-dan-pajak itu datang dengan pilihan untuk memperbaharui dua terma tambahan lima tahun, katanya.
Begitu juga, perjanjian RM2 bilion pada Mei adalah untuk pajakan 20 tahun, dengan pilihan untuk memperbaharui bagi tempoh lima tahun tambahan.
Penganalisis sebahagian besarnya bersetuju, kunci kira-kira kumpulan dengan penggearan bersih kira-kira 0.2 kali, akan dapat menyelesaikan kos projek.
Dalam pada itu, CGS International menjangkakan projek kedua boleh membawa masuk nilai aset bersih sesaham nilai semula tambahan sebanyak 11 sen, berdasarkan andaian luas hasil pajakan tahunan sebanyak RM280 juta, perbelanjaan modal sebanyak RM2.5 bilion, dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan margin pelunasan (EBITDA) sebanyak 80%.
"Dengan perkembangan terbaru ini, kami berpendapat Elmina Business Park sedang membentuk satu lagi titik panas untuk operasi pusat data, membolehkan Sime Darby Propety memanfaatkan permintaan pusat data yang semakin meningkat," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan TP RM1.94 sesaham.- DagangNews.com