Strategi SP Setia jana wang menerusi penggunaan tanah, pacu pertumbuhan pendapatan kumpulan - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Strategi SP Setia jana wang menerusi penggunaan tanah, pacu pertumbuhan pendapatan kumpulan - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Dis - Strategi penjanaan wang menerusi penggunaan tanah oleh SP Setia Bhd berjaya memacu pertumbuhan pendapatan kumpulan dan menjadi kedudukan penggearan bersihnya dalam keadaan lebih baik, kata penganalisis. 

 

Kumpulan hartanah itu mencatatkan keuntungan bersih teras pada RM84 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3Q24), meningkat 92% tahun ke tahun sebahagian besarnya disebabkan keuntungan yang lebih tinggi daripada penjualan tanah, yang mengimbangi kerugian daripada Stesen Janakuasa Battersea (BPS) di Britain dan sumbangan yang lebih rendah daripada operasi Australianya.

 

RHB Investment berkata, dengan penjualan tanah, kumpulan itu seharusnya berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan RM4.4 bilion memandangkan pelabcaran projek baharu dengan nilai anggara RM1.97 bilion pada akhir tahun.

 

“Kami menjangkakan untuk melihat satu lagi penjualan tanah pada 4QFY24 di Taman Pelangi, Johor, dengan anggaran keuntungan bersih RM57 juta.

 

"Selain itu, kami berpendapat, pendapatan kumpulan akan lebih normal, didorong pembangunan perbandaran dan pengembangan perindustriannya," kata firma penyelidikan itu.

 

Ia menambah, SP Setia menyatakan ia yakin tentang pasaran Australia, setelah melancarkan projek pembangunan bercampur Atlas Melbourne dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.7 bilion.

 

Kumpulan itu juga melancarkan pratonton eksklusif Setia Federal Hill, dengan Fasa 1 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion dijadualkan dilancarkan pada awal 2025.

 

Syarikat penyelidikan itu, yang mengekalkan saranan "beli" pada harga sasaran RM1.72, juga menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2024 (FY24) untuk S P Setia sebanyak 8% untuk mencerminkan keuntungan pelupusan tanah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, keputusan 3QFY24 kumpulan itu adalah sejajar dengan unjurannya kerana ia menjangkakan pendapatan kembali normal pada 4QFY24 tanpa adanya penjualan tanah.

 

SP Setia memperoleh jualan hartanah sebanyak RM3.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir September 2024, termasuk tanah bernilai RM731 juta di Johor, mencapai 72% daripada matlamat jualan FY24.

 

"Tidak termasuk jualan tanah, jualan hartanah adalah RM2.5 bilion, menyumbang 61% daripada andaian jualan RM4 bilion kami untuk FY24," kata firma penyelidikan itu.

 

Tambahan pula, jualan akan meningkat dengan kukuh pada 4QFY24 dengan pelancaran baharu bernilai RM2 bilion, termasuk projek Atlas Melbourne yang telah 30% terjual.

 

Maybank IB Research mengekalkan saranan "beli" ke atas saham dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.64 sesaham.- DagangNews.com