Sukhoi TUDM jalani latihan isi minyak di udara dengan pesawat KC-135 Amerika Syarikat | DagangNews Skip to main content

Sukhoi TUDM jalani latihan isi minyak di udara dengan pesawat KC-135 Amerika Syarikat

Pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM sedang melakukan latihan pengisian minyak di udara dengan pesawat KC-135 USAF.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 14 Nov - Pesawat Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempamerkan kebolehan apabila melaksanakan pengisian minyak di udara bersama pesawat Amerika Syarikat.

 

Ini dilihat luar daripada kelaziman memandangkan Sukhoi merupakan pesawat buatan Rusia, bagaimana pun ia dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Di Asia Tenggara, pesawat Sukhoi SU-30 dimiliki Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Myanmar.

 

 

Latihan ini dijalankan menerusi pertukaran kemahiran kepakaran bersama United States Pacific Air Forces (US PACAF) dan Washington Air National Guard (WAANG) dalam Air-to-Air Refuelling (AAR).

 

Pesawat
Sesi perbincangan antara pegawai dan kru TUDM bersama USAF.

 

Latihan selama dua hari ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang hasil daripada mesyuarat persefahaman antara kedua-dua negara.

 

Latihan AAR adalah teknik pemindahan bahan bakar dari pesawat ‘tanker’ kepada pesawat lain yang memerlukan bahan bakar semasa kedua-duanya berada di udara.

 

Teknik ini membolehkan pesawat penerima untuk kekal terbang lebih lama dan membawa muatan yang lebih berat semasa berlepas. 

 

Latihan ini telah melibatkan pesawat KC-135 dari USAF serta pesawat Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet TUDM.

 

Pada hari pertama, latihan dimulakan dengan sesi kelas akademik yang dikendalikan oleh Skuadron 141st Air Refueling Wing merangkumi teori asas dan prosedur AAR.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pada hari kedua, pelaksanaan sesi penerbangan sebenar dengan penglibatan pegawai-pegawai kanan daripada US PACAF, WAANG dan TUDM. 

 

Pengisian bahan bakar dari pesawat KC-135 kepada pesawat-pesawat TUDM berjaya dilakukan dengan menggunakan sistem ‘probe and drogue’. 

 

Sistem ini lazim digunakan pada pelbagai pesawat negara barat.

 

Pesawat Sukhoi SU-30MKM boleh terbang selama 4.5 jam atau 3,000 kilometer (km) dengan kapasiti bahan bakar penuh, tetapi menerusi AAR ia boleh menjangkau 5,200km atau sehingga 10 jam penerbangan.

 

Pesawat
Pesawat KC-135 diiringi Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet.

 

Latihan diakhiri dengan taklimat penutup untuk menyimpulkan hasil latihan dan perkongsian pengalaman daripada kru terlibat.

 

Selain itu, ia juga untuk menilai keberkesanan latihan dan mengesahkan pencapaian objektif yang telah ditetapkan. 

 

Pelaksanaan latihan AAR ini membawa pelbagai manfaat strategik antaranya memanjangkan jarak operasi pesawat, meningkatkan kesiapsiagaan serta memperkuat keupayaan.

 

Ini bagi menjalankan misi jarak jauh tanpa keperluan mendarat untuk mengisi bahan bakar. 

 

Pesawat

 

Selain itu, latihan ini juga memperkukuh koordinasi antara pesawat ‘tanker’ dan pesawat penerima bahan bakar.

 

Latihan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia dan Amerika Syarikat, tetapi juga meningkatkan kemampuan TUDM dalam menjalankan operasi bersama dengan rakan antarabangsa. 

 

Melalui latihan ini, TUDM akan terus komited dalam mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan angkatan udara Malaysia.

 

Ia sejajar dengan perkembangan pesat dalam teknologi pertahanan dan kerjasama antarabangsa. - DagangNews.com