KUALA LUMPUR 31 Dis - Sunway Group melantik Datuk Mohd Anuar Taib sebagai Timbalan Presiden baharu berkuat kuasa 2 Januari 2025.
Beliau akan memantau perniagaan teras kumpulan termasuk Sunway Property, Sunway Malls dan Sunway Healthcare.
Anuar telah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di lembaga Sunway sejak Julai 2023.
Menurutnya, sebagai ahli lembaga Sunway sejak 18 bulan lalu, beliau berpeluang bekerja rapat dengan pemimpin kumpulan yang meletakkan asas untuk pertumbuhan dan kejayaan luar biasa syarikat.
"Saya terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah dan rakan-rakan ahli lembaga saya untuk membentuk fasa seterusnya dalam perjalanan Sunway bagi 50 tahun akan datang dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.
Anuar merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Sapura Energy Bhd, di mana beliau memimpin usaha penstrukturan semula hutang korporat terbesar di Malaysia, serta memperbaiki prestasi strategik, operasi dan pembinaan keupayaan organisasi itu.
Beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Shell di seluruh Malaysia, Amerika Syarikat dan rantau Asia Pasifik, termasuk sebagai Pengerusi Negara bagi Shell Companies di Malaysia, sebelum menyertai Petroliam Nasional Bhd sebagai Naib Presiden Pembangunan dan Pengeluaran.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Case Western Reserve University di Amerika Syarikat dan MBA dalam Pengurusan Antarabangsa dari RMIT University di Australia.
Pelantikan beliau dibuat susulan beberapa perubahan dalam pengurusan kanan yang menyaksikan Datin Sarena Cheah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, manakala Evan Cheah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Presiden.
Sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, Sarena akan mengembangkan dan memperluaskan usaha antarabangsa kumpulan, serta mengenal pasti dan mengejar peluang pasaran baharu.
Sementara itu, Evan akan memimpin pelaburan strategik dan perniagaan baharu Sunway, serta memberi fokus kepada peralihan digital. - DagangNews.com