KUALA LUMPUR 29 Okt - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) Management Sdn Bhd menganugerahkan kontrak bernilai RM255 juta kepada Awangsa PMC Sdn Bhd (APMC) bagi pembangunan semula Sunway Pier di Pelabuhan Klang, Selangor.
Kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja pembinaan termasuk kerja bangunan utama, kerja cerucuk dan substruktur, kerja pembaikan struktur jeti sedia ada dan semua kerja mekanikal, elektrikal dan paip yang berkaitan.
Katanya, projek 28 bulan itu akan bermula pada 29 Oktober 2024 dan dijangka siap pada awal tahun 2027.
Sunway REIT berkata, bangunan baharu itu akan menampilkan keluasan lantai kasar (GFA) lebih kurang 500,000 kaki persegi dan kawasan boleh disewa bersih (NLA) lebih kurang 300,000 kaki persegi, bersama-sama dengan lebih daripada 600 tempat letak kereta.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management, Clemen Chen berkata, Sunway Pier bakal menarik pelancong dalam dan luar negara termasuk penumpang dan anak-anak kapal di Pulau Indah Cruise Terminal and Westport.
”Dengan tarikan jeti antarabangsa, ia akan mengembangkan kemudahan seperti pasaran makanan laut, pelbagai tawaran F&B dan kedai bebas cukai bagi penduduk Lembah Klang.
"APMC alah kontraktor berpengalaman dan baru-baru ini telah menyiapkan kerja-kerja baik pulih Sunway Pyramid Oasis untuk Sunway REIT yang dihantar tepat pada masa dan mengikut bajet.
"Bagi pembinaan Sunway Pier, APMC juga akan menyediakan pembiaan alternatif bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos pembinaan.
"Kami percaya APMC dapat menyiapkan pembangunan Sunway Pier menjelang separuh pertama 2027,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sunway Pier, dengan anggaran kos pembangnan RM400 juta itu akan dibina bersebelahan dengan stesen KTM Pelabuhan Klang dan di hujung barat Lebuhraya Persekutuan bagi meningkatkan akses pengangkutan awam kepada orang ramai.
Selain Sunway Pier, Sunway REIT juga sedang meningkatkan aset di Sunway Pyramid Oasis yang akan dibuka semula pada November 2024 dengan kos RM190 juta.
Sementara itu, kumpulan itu juga sedang membaik pulih sayap lama Sunway Carnival Mall dengan kos keseluruhan RM360 juta yang dijangka siap menjelang Jun 2025.- DagangNews.com