Syarikat Jerman di Malaysia menjangkakan prospek ekonomi yang stabil dan positif untuk 2025 | DagangNews Skip to main content

Syarikat Jerman di Malaysia menjangkakan prospek ekonomi yang stabil dan positif untuk 2025

KUALA LUMPUR 13 Nov - Syarikat Jerman di Malaysia optimis terhadap prospek perniagaan serta pertumbuhan ekonomi di negara ini, menurut AHK World Business Outlook Fall 2024.

 

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC) atau AHK Malaysia seperti yang dikenali di Jerman, berkata tinjauan itu, yang dijalankan dengan 111 ahli dari MGCC, menyerlahkan pandangan utama yang mencerminkan daya tahan dan jangkaan pertumbuhan perniagaan Jerman yang beroperasi di Malaysia.

 

"Secara keseluruhannya, dapatan tinjauan ini menggambarkan keyakinan yang kukuh dalam kalangan syarikat di Malaysia, menonjolkan trajektori positif untuk pembangunan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi pada tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif MGCC, Jan Noether berkata, syarikat Jerman selesa dan komited terhadap pasaran Malaysia, dengan prospek yang jelas untuk kejayaan dan pengembangan berterusan pada tahun hadapan.

 

“Sentimen kukuh dan keyakinan yang dicerminkan dalam tinjauan itu menyerlahkan situasi positif yang dialami di sini dan menekankan keyakinan kami terhadap kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.

 

"Selain itu, persekitaran ekonomi Malaysia yang stabil dan dasar yang menyokong memainkan peranan penting dalam merangsang pelaburan selanjutnya, mengukuhkan kepercayaan kami di negara ini sebagai hab yang boleh dipercayai dan menarik untuk pertumbuhan perniagaan," katanya.

 

Bedasarkan tinjauan itu, 92% perniagaan Jerman di Malaysia melaporkan keadaan sebagai "baik atau memuaskan" yang menandakan peningkatan ketara sebanyak 10% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pembangunan ekonomi yang kukuh dan keyakinan dalam kalangan perniagaan Jerman di Malaysia dijangka berterusan hingga tahun depan, dengan 97% responden menyifatkan prospek 2025 sebagai menggalakkan atau stabil, katanya.

 

"Walaupun Malaysia sentiasa diiktiraf kerana asas ekonominya yang kukuh, keputusan tahun ini menunjukkan peningkatan keyakinan yang ketara, mengatasi jangkaan daripada unjuran tahun lepas dan menonjolkan daya tahan berterusan ekonomi Malaysia.

 

"Mencerminkan keyakinan ini, lebih 63% syarikat menjangkakan perkembangan perniagaan positif dalam tempoh 12 bulan akan datang, manakala 35% menjangkakan kestabilan semasa akan dikekalkan," katanya sambil menambah hanya 1.8% meramalkan penurunan dalam prestasi, mempamerkan tinjauan yang kebanyakannya positif untuk tahun hadapan.- DagangNews.com