Syarikat pemula Mesolitica bangunkan `MaLLam' model Bahasa Malaysia menggunakan generatif AI | DagangNews Skip to main content

Syarikat pemula Mesolitica bangunkan `MaLLam' model Bahasa Malaysia menggunakan generatif AI

MaLLaM yang mampu memahami dialek tempatan memberikan respons yang pantas dan tepat kepada pertanyaan dalam pelbagai bahasa termasuk loghat negeri-negeri di Malaysia. - Gambar/Mesolitica
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Dis - Syarikat pemula Malaysia yang pakar dalam latihan model bahasa besar (LLM), Mesolitica, melancarkan model bahasa generatif kecerdasan buatan (gen-AI) Bahasa Malaysia yang dipanggil MaLLaM menerusi perkhidmatan awannya.

 

Mesolitica yang mengikuti Program Sorotan AI Generatif Amazon Web Services (AWS) Asia-Pasifik dan Jepun, menghasilkan MaLLaM yang mampu memahami dialek tempatan seperti slanga dan peribahasa yang menggabungkan pelbagai loghat, Bahasa Melayu dan 16 bahasa serantau lain.

 

Ia dijangka memudahkan tugas yang memerlukan model bahasa AI di pelbagai industri.

 

MaLLaM juga dapat memberikan respons yang pantas dan tepat kepada pertanyaan rakyat dalam pelbagai bahasa termasuk dialek dari negeri-negeri di Malaysia seperti Johor, Kedah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

 

Menurut AWS, tujuan utama pembangunan model tersebut adalah untuk meningkatkan komunikasi rakyat dan keupayaan pemprosesan data di seluruh negara ini yang kaya dengan pelbagai bahasa.

 

Pengarah Urusan AWS ASEAN, Jeff Johnson berkata, syarikat Malaysia yang menggunakan MaLLaM dapat meningkatkan operasi dengan AI generatif dalam bahasa serantau untuk membantu golongan yang kurang mendapat perhatian, seperti petani di kawasan luar bandar, membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan data menggunakan parameter masa nyata.

 

"Kerajaan Malaysia juga sedang meneroka integrasi MaLLaM dalam operasinya, selaras dengan matlamat negara untuk mencapai objektif AI dan tadbir urus data tempatan," katanya semasa taklimat media untuk negara-negara ASEAN di AWS re:Invent 2024 di Las Vegas, baru-baru ini.

 

Menurut AWS, Mesolitica mengikuti program selama empat minggu yang bertujuan menyokong syarikat pemula di peringkat awal di rantau ini yang membangunkan aplikasi AI generatif.

 

Syarikat permulaan tersebut juga merupakan satu daripada dua syarikat Malaysia yang menerima kredit AWS daripada Program AWS Activate, sebuah inisiatif menyeluruh yang menyediakan akses kepada pelbagai sumber termasuk kredit AWS, sokongan teknikal, latihan dan alat yang disesuaikan untuk membantu syarikat pemula membangunkan, melancarkan dan mengembangkan aplikasi mereka di AWS.

 

"Mesolitica menyertai Rangkaian Rakan Kongsi kami, sebuah program global yang direka untuk membantu perniagaan memanfaatkan AWS untuk pertumbuhan dan kejayaan," menurut kenyataan AWS.

 

Syarikat berkenaan berjaya meningkatkan operasi pembelajaran mesin dengan ketara menerusi perkhidmatan AWS, memindahkan beban latihan modelnya ke Amazon Elastic Cloud Compute (Amazon EC2) dan melaksanakan beban inferens menggunakan Amazon EC2 G5 instances, yang menyediakan pemecut unit pemproses grafik (GPU) yang kos efektif untuk model AI.

 

AWS re:Invent 2024, yang diadakan pada 2 hingga 6 Disember 2024 di pelbagai lokasi di Las Vegas, adalah persidangan pembelajaran yang dianjurkan oleh AWS untuk komuniti pengkomputeran awan global.

 

Acara itu menampilkan peluang latihan dan pensijilan, akses kepada lebih 2,000 sesi teknikal, Expo dan acara selepas waktu pejabat, dan dijangka mengumpulkan kira-kira 60,000 peserta dari seluruh dunia. - DagangNews.com