KUALA LUMPUR 12 Nov - Anak milik penuh syarikat T7 Global, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd menerima surat anugerah (LoA) daripada IPC Malaysia B.V bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan Pan Malaysia, pembinaan, pengubahsuaian (MCM) dan perkhidmatan hook-up & pentauliahan (HUC) Pakej B3.
T7 Global berkata, kontrak tersebut telah mula berkuatkuasa dan dirancang untuk berjalan selama lima tahun dengan pilihan lanjutan untuk tambahan tiga tahun, diikuti dengan dua tahun lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, kontrak daripada IPC itu mengukuhkan kemampuan kumpulan sebagai penyedia perkidmatan MCM dan HUC.
"Kami menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif dalam keputusan kewangan kami yang akan dating serta menyokong perkembangan strategik kumpulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, anak syarikatnya, T7 Facility Sdn Bhd melancarkan majlis perasmian sempena pembukaan kemudahan kawasan fabrikasi T7.
Kawasan fabrikasi yang terletak di Kemaman, Terengganu itu berfungsi sebagai pusat kemudahan dan sokongan yang komprehensif bagi menyokong pelbagai operasi T7 Global.
Ini termasuk bengkel kejuruteraan, fabrikasi, penyelenggaraan aset dan pergudangan.
Katanya, ia akan berfungsi sebagai hab operasi bersepadu untuk T7 Global dan unit perniagaan yang berkaitan.
Kay Zhuin berkata, pelancaran fasiliti itu mencerminkan komitmen kumpulan sebagai penyedia rumusan berkualiti tinggi kepada pelanggan perniagaan tenaga.
"Kemudahan ini akan mengukuhkan kapasiti kami dan menyelaraskan proses operasi sebagai tindak balas kepada permintaan industri yang berkembang.
"Dengan penerimaan kontrak daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. dan IPC, pelancaran kawasan fabrikasi membolehkan kami menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami," katanya.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.- DagangNews.com