TA Securities optimis terhadap prospek sektor semikonduktor Malaysia disokong pemulihan permintaan global | DagangNews Skip to main content

TA Securities optimis terhadap prospek sektor semikonduktor Malaysia disokong pemulihan permintaan global

Gambar: freepik.com
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - TA Securities optimis terhadap prospek jangka panjang sektor semikonduktor di Malaysia disokong pemulihan berterusan dalam permintaan global.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap industri semikonduktor tempatan walaupun pendapatan jangka pendek beberapa saham semikonduktor berkemungkinan terjejas disebabkan pengukuan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Kejayaan Donald Trump menjadi Presiden AS buat kali kedua berkemungkinan menerima pakai dasar untuk menggiatkan kawalan eksport dan menaikkan tarif ke atas sektor semikonduktor China.

 

"Keadaan itu juga akan mewujudkan lebih banyak lencongan perdagangan untuk Malaysia di bawah strategi China Plus One. 

 

"Kami percaya Malaysia akan kekal sebagai destinasi popular kerana statusnya sebagai negara berkecuali dari segi politik dengan ekosistem dan infrastruktur yang mantap untuk sektor semikonduktor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada September 2024, jualan semikonduktor global berjumlah AS$55.3bilion berbanding Ogos sebanyak AS$53.1 bilion, menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SEMI).

 

Ini menandakan pemulihan jualan untuk bulan kesebelas berturut-turut dan kenaikan bulan ke bulan ketujuh berturut-turut.

 

TA Securities berkata, pasaran semikonduktor global berada dalam kitaran menaik pada masa ini dengan peningkatan yang kukuh disumbangkan semua wilayah kecuali Eropah. 

 

Katanya, pertumbuhan jualan diterajui oleh AS, diikuti oleh China, Asia Pasifik, dan Jepun.

 

“Menurut SEMI, penghantaran global wafer silikon dianggarkan meningkat 10% untuk mencapai 13,328 juta inci persegi kerana permintaan wafer terus pulih daripada kitaran menurun.

 

“Sementara itu, pertumbuhan kukuh dalam penghantaran wafer silikon dijangka berterusan sehingga 2027, didorong oleh peningkatan permintaan untuk kecerdasan buatan dan teknologi pemprosesan termaju. 

 

"Selain itu, aplikasi baharu dalam pembungkusan termaju dan pengeluaran memori lebar jalur tinggi, yang memerlukan lebih banyak wafer, terus menyumbang kepada keperluan yang semakin meningkat untuk wafer silikon,” katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas Inari Amertron Bhd dengan harga sasaran (TP) RM4.10 sesaham.

 

Firma penyelidikani itu juga mengekalkan saranan 'beli' ke atas Unisem (M) Bhd dengan TP RM3.62, Malaysian Pacific Industries Bhd pada RM38.20 dan Elsoft Research Bhd pada 58 sen.- DagangNews.com