KUALA LUMPUR 5 Dis - Takeda Malaysia (Takeda) dan organisasi peneraju penjagaan terurus, MiCare, memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi memerangi wabak denggi dan menambah baik kesihatan awam.
Usaha sama tersebut turut melibatkan syarikat peneraju insurans seperti Great Eastern Life Malaysia, Tokio Marine Life Malaysia, MCIS Life, Hong Leong Assurance dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.
Kerjasama itu menyaksikan Takeda dan rakan-rakan kongsi berusaha meningkatkan akses kepada sumber-sumber penting pembasmian wabak denggi selain menyebarkan maklumat kesihatan serta vaksinasi.
Ketika denggi terus menjadi satu daripada ancaman kesihatan di Malaysia, pengendali insurans dan takaful terlibat bakal berhubung dengan 1.7 juta pemegang polisi atau sijil, menyediakan mereka dengan pengetahuan dan sumber penting bagi membanteras wabak tersebut.
Dengan meningkatkan kesedaran mengenai risiko besar denggi dan menawarkan akses kepada vaksinasi, kerjasama berkenaan merupakan satu pendekatan menyeluruh bagi melindungi kesihatan awam.
Pengurusan wabak denggi melibatkan kos langsung dan tidak langsung yang besar, dengan anggaran beban ekonomi mencecah RM447 juta setiap tahun.
Lebih 90% belanjawan yang diperuntukkan bagi memerangi wabak denggi, dibelanjakan untuk langkah-langkah kawalan vektor, namun kesan jangka panjang terhadap rakyat seperti kualiti kehidupan dan kesihatan, lebih sukar diukur.
Pengurus Besar, Takeda Malaysia & Singapura, Dr Lynette Moey berkata, pihaknya komited untuk membina ekosistem bagi menyediakan akses kepada vaksinasi denggi sebagai satu kaedah pembasmian denggi bersepadu.
"Kerjasama dengan syarikat-syarikat pengendali insurans dan takaful, penyedia penjagaan kesihatan serta pihak berkepentingan, membolehkan kami membantu meningkatkan kesedaran mengenai wabak denggi dan membuka laluan baharu kepada orang ramai untuk mendapat akses vaksinasi sebagai kaedah pembasmian tambahan.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan lebih ramai orang dilindungi, terutama di kawasan berisiko tinggi, selaras dengan misi kebangsaan negara untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih sihat serta berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MiCare, Moses Hee berkata, pihaknya telah bertahun-tahun menumpukan usaha mencegah gigitan nyamuk dan mengawal tapak pembiakan nyamuk.
"Selain menggalakkan vaksinasi denggi, kerjasama ini dapat menyatukan pelbagai pihak dalam membasmi denggi dan mengurangkan kos pengurusan denggi," ujarnya. - DagangNews.com