KUALA LUMPUR 11 Nov - Penasihat bebas MainStreet Advisers Sdn Bhd menyifatkan tawaran pengambilalihan WMG Holdings Bhd oleh Exsim Borneo adalah 'tidak adil' dan 'tidak munasabah', serta menasihatkan pemegang saham pemaju hartanah itu untuk menolak tawaran tersebut.
Pada 12 Oktober 2024, Exsim Borneo bersetuju untuk mengambil alih 52.5% saham dalam WMG Holdings Bhd daripada Syarikat Kretam (Far East) Holdings Sdn Bhd pada harga RM75.12 juta tunai atau 16.5 sen bagi sesaham WMG.
Exsim Borneo merupakan anak syarikat milik penuh Exsim Development Sdn Bhd, dimiliki oleh Lim Aik Hoe dan adik-beradiknya Aik Kiat dan Aik Fu.
Dalam pada itu, Ben Kong Chung Vui, bercadang untuk membeli tambahan 17.5% dalam WMG daripada Syarikat Kretam pada harga RM25 juta.
Kedua-dua pihak akan memegang 70% saham dalam WMG selepas perjanjian itu selesai.
Dalam satu makluman di Bursa Malaysia pada Isnin, MainStreet berkata, harga tawaran bagi 260 juta baki saham WMG pada 16.5 sen dan 155 juta saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) pada 33 sen adalah tidak adil.
Firma itu berkata, harga tawaran bagi baki saham dan RCPS mewakili diskaun lebih 70% daripada anggaran nilai aset bersih (RNAV) yang dinilai semula sebanyak 74.7 sen sesaham WMG dan anggaran nilai setiap tawaran RCPS sebanyak RM1.494.
Katanya, harga tawaran 16.5 sen juga lebih rendah daripada harga pasaran purata wajaran volum harian (VWAP) saham WMG sejak awal Mac 2024 hingga 4 November 2024.
Oleh itu, MainStreet menyifatkan tawaran itu sebagai "tidak munasabah" kerana saham akan kekal boleh didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia memandagkan Exsim Borneo berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian.
Ini memberi peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan mereka dalam syarikat pada harga pasaran semasa di pasaran terbuka selepas tarikh tutupnya pada 22 November 2024, walaupun tiada jaminan saham akan terus didagangkan pada paras harga semasa. - DagangNews.com