KUALA LUMPUR 2 Dis - Peneraju sektor pendidikan premium di Malaysia, Taylor’s Education Group (Taylor’s), mengumumkan pelaburan strategik dalam Good International School (Good International Sdn Bhd) bagi menyokong misinya untuk menyediakan pendidikan antarabangsa yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan.
Pelaburan itu mencerminkan hasrat Taylor’s untuk menjadikan pendidikan berkualiti lebih mudah diakses oleh pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat.
Good International School diasaskan bersama dan dipimpin oleh pasangan suami isteri, Yeoh Shu Wen dan Thor Joe Hock, yang kedua-duanya alumni cemerlang Taylor’s College.
Mereka berkongsi komitmen dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia pada harga yang berpatutan serta lestari dari segi alam sekitar dan sosial.
Visi mereka direalisasikan melalui kampus baharu Good International School di Quayside Tower, iaitu sebahagian daripada pembangunan TwentyFive7 oleh Gamuda Land, yang menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk memenuhi keperluan keluarga moden.
Pengerusi Taylor’s Education Group, Dato’ Loy Teik Ngan berkata, pihaknya teruja dengan peluang yang ditawarkan dalam segmen harga sederhana dan premium.
"Pelaburan ini adalah sebahagian daripada matlamat kami untuk membawa pengalaman pendidikan Taylor’s kepada lebih ramai keluarga di Malaysia.
"Dengan melabur dalam Good International School, kami bukan sahaja menyokong inisiatif yang diketuai oleh alumni berbakat Taylor’s College, tetapi turut memperkenalkan model pendidikan antarabangsa mampu milik tanpa menjejaskan kualiti," katanya dalam satu kenyataan.
Manfaat utama kerjasama itu termasuk memberi keutamaan untuk pelajar Good International School yang ingin melanjutkan pelajaran di Taylor’s College atau Taylor’s University serta peluang latihan industri untuk pelajar prasiswazah dari Taylor’s University.
Sementara itu, Shu Wen yang juga Pengarah Urusan Good International School berkata, misinya sejak awal lagi adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak berpeluang mengakses pendidikan antarabangsa yang berkualiti tinggi tanpa mengira latar belakang kewangan.
"Pelaburan daripada Taylor’s Education Group memperkukuh misi ini dan membolehkan kami terus berkembang tanpa menjejaskan kualiti.
"Sokongan Taylor’s, bersama akses kepada kepakaran dan sumber mereka, akan menjadi pemangkin perubahan untuk masa depan kami," ujarnya.
Kampus baharu Good International School di Quayside Tower Gamuda Land adalah contoh komitmen berkenaan terhadap kerjasama komuniti yang bermakna.
Dibuka pada Ogos 2024, ia menawarkan gabungan akademik yang kukuh dan aktiviti kokurikulum terpilih.
Lokasi strategiknya menyediakan akses kepada pendidikan antarabangsa yang mampu milik dalam radius 30 minit.
Melalui kerjasama itu, Taylor’s Education Group sekali lagi menjadi peneraju dalam membentuk masa depan pendidikan di Malaysia. - DagangNews.com