Terbitan hak Harvest Miracle terlebih langgan 20.24%, jana hasil RM98.43 juta | DagangNews Skip to main content

Terbitan hak Harvest Miracle terlebih langgan 20.24%, jana hasil RM98.43 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Jan – Harvest Miracle Capital Bhd (Harvest Miracle) mengumumkan, terbitan hak sejumlah 1.23 bilion sahamnya, telah terlebih langgan sebanyak 20.24% selepas harga saham kumpulan melonjak 61% tiga minggu lalu.

 

Syarikat itu berjaya mengumpulkan modal baharu sebanyak RM98.43 juta daripada terbitan hak tersebut. 

 

Separuh daripada jumlah yang diperoleh akan dilaburkan dalam perniagaan pemberian pinjaman wang, manakala RM49.27 juta lagi akan digunakan untuk membayar Aset Kayamas Sdn Bhd bagi pengambilalihan projek pangsapuri perkhidmatan Genting Antara pada 2022.

 

Terbitan hak tiga untuk satu ditetapkan pada harga lapan sen sesaham, berbanding harga penutupan saham yang bernilai 18.5 sen, semalam. 

 

Kenaikan harga saham yang bermula pada akhir bulan lalu menyebabkan jurang harga antara tawaran hak dan harga pasaran saham semakin besar.

 

Pada akhir tempoh penerimaan tawaran hak, syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE itu berkata, ia menerima penerimaan yang sah dan permohonan lebihan, berjumlah 1.48 bilion saham hak, melepasi jumlah yang tersedia untuk langganan.

 

Bulan lalu, Harvest Miracle, yang sebelum ini dikenali sebagai Vortes Consolidated Bhd, menetapkan harga isu saham hak pada lapan sen dan waran pada 10 sen. 

 

Terbitan hak berkenaan melibatkan sehingga 1.36 bilion saham dengan dasar tiga saham hak untuk setiap satu saham yang dipegang pada 19 Disember 2024. 

 

Ia juga disertakan dengan waran percuma berdasarkan satu waran D untuk setiap dua saham hak yang dilanggan.

 

Saham hak bersama waran D dijangka disenaraikan pada 21 Januari 2025.

 

Harvest Miracle berkata, daripada jumlah hasil RM98.43 juta, sejumlah RM49.27 juta akan digunakan untuk membayar baki bayaran bagi projek Antara Genting, yang diambil alih oleh syarikat daripada Aset Kayamas Sdn Bhd pada April 2022.

 

"Sehingga 29 November 2024, projek Antara Genting telah mencapai 80% tahap siap.

 

"Kumpulan juga telah membayar RM197.08 juta, yang merupakan 80% daripada jumlah keseluruhan bayaran yang diperlukan sebanyak RM246.35 juta untuk projek tersebut,"  katanya dalam satu pemfailan di Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, syarikat memperuntukkan sebanyak RM45.89 juta untuk perniagaan pemberian pinjaman wang kumpulan, dengan rancangan untuk menawarkan rumusan pembiayaan kepada lebih banyak pelanggan, termasuk pembiayaan peribadi, modal kerja, perniagaan baharu, pembelian hartanah, pembiayaan projek dan pembiayaan peralatan.

 

Selain itu, kumpulan juga meluaskan perniagaannya ke sektor rantaian bekalan melalui penubuhan anak syarikatnya, Miracle Nexus Supply Sdn Bhd, yang bertujuan menyediakan rumusan rantaian bekalan dari hujung ke hujung, termasuk sumber, perolehan, penyimpanan dan penghantaran terakhir untuk bahan binaan.

 

"Perkhidmatan rantaian bekalan ini akan disepadukan secara lancar dengan sektor pemberian pinjaman wang kumpulan, yang akan menawarkan pilihan pembiayaan fleksibel dengan tempoh pembiayaan yang lebih panjang," katanya.

 

Saham Harvest Miracle ditutup turun 1.5 sen atau 7.5% pada harga 18.5 sen semalam, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM303.5 juta. - DagangNews.com