IPOH 25 Sept - Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (Terra Lab) yang bakal dirasmikan Oktober ini giat mempertingkatkan kepakaran melalui kerjasama dengan Pusat Latihan Peralatan Bruker, Jerman.
Terra Lab merupakan makmal menganalisis kandungan unsur mineral termasuk nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) milik kerajaan negeri Perak.
Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc Perak) dalam kenyataan memaklumkan, latihan intensif selama tiga hari tersebut memfokuskan kepada pengendalian peralatan analisis Micro X-ray Fluorescence (Micro XRF).
Ini salah satu peralatan analisis utama yang digunakan bagi pengkhususan komposisi elemen, analisis mineralogi, pemetaan elemen, pengesahan dan kawalan kualiti mineral dalam aktiviti cari gali.
Menurut kenyataan itu, peralatan ini juga digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Lawatan kerja dan latihan intensif ke Jerman yang diketuai oleh Pegawai Kimia Kanan Terra Lab, ChM. Noorhafizah Hasanudin telah diberi penerangan menyeluruh mengenai beberapa aspek penting.
“Antaranya aplikasi peralatan Micro XRF, penyelenggaraan peralatan dan kuantifikasi data.
“Selain pemindahan teknologi peralatan, lawatan kerja ini memperlihatkan usaha dalam membantu Terra Lab berkaitan pembangunan metodologi serta peningkatan ketepatan data analisis,” ujar kenyataan tersebut.
Pada masa sama, ia memberi pendedahan terhadap pelbagai sampel mineral dan kemampuan menyeluruh peralatan, melampaui skop penganalisisan mineral semata-mata.
Menerusi kerjasama ini juga dapat membuka jalur potensi untuk sebarang kolaborasi dan menjadi platform perkongsian maklumat terutamanya berkaitan bidang teknikal.
Usaha ini menjadi pemangkin dalam meningkatkan kompetensi tenaga pakar sedia ada selaras dengan visi Terra Lab untuk menjadi makmal utama negara bagi analisis mineral komersial.
Pada Julai lalu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad mengumumkan penubuhan makmal Terra Lab yang dibangunkan di kawasan perindustrian di Gopeng.
Makmal tersebut bakal menempatkan 15 tenaga kerja yang menerima latihan dalam bidang berkaitan di dalam dan luar negara.
Pembangunan Terra Lab adalah sebahagian daripada langkah proaktif dan strategik kerajaan negeri memposisikan Perak sebagai pemimpin dalam industri NR-REE.
Selain MB Inc, agensi di bawah kerajaan negeri yang terlibat bekerjasama dalam bidang NR-EE ialah Perak SADC dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak.
Kolaborasi antara ketiga-tiga agensi ini dapat memberikan manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak kelak. - DagangNews.com