Theta Edge lengkapkan Fasa 1 Jendela dengan pembinaan 221 menara telekomunikasi di tujuh negeri | DagangNews Skip to main content

Theta Edge lengkapkan Fasa 1 Jendela dengan pembinaan 221 menara telekomunikasi di tujuh negeri

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Dis - Theta Edge Berhad (Theta) menerusi anak syarikatnya, Theta Telecoms Sdn Bhd mengumumkan pelaksanaan penuh inisiatif Jendela, apabila berjaya melengkapkan 221 menara telekomunikasi berteknologi tinggi untuk Fasa 1 program itu, yang merentasi tujuh negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor. 

 

Pencapaian tersebut memperkukuhkan lagi jaringan hubungan digital Malaysia dan reputasi Theta sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam projek-projek berskala besar.

 

Kejayaan Theta melaksanakan projek menara telekomunikasi bagi program Jendela membuktikan keupayaan teknikal dan pengurusan projek yang cemerlang. 

 

Selain itu, syarikat juga dapat menyelesaikan projek menara telekomunikasi di Kampung Bharu Tok Dor, Jerteh, Terengganu, sembilan bulan lebih awal daripada sasaran, mencerminkan kesiapsediaan Theta untuk melaksanakan projek kemudahan kritikal merentasi seluruh Malaysia bagi memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar dengan menyokong pembangunan ekonomi tempatan dan merangsang pertumbuhan digital. 

 

Pencapaian inovatif berkenaan meletakkan satu penanda aras yang kuat dalam mempercepatkan peralihan digital negara.

 

Menara telekomunikasi pertama yang dibangunkan oleh Theta juga disiapkan tiga bulan lebih awal daripada jadual asal, membuktikan komitmen Theta terhadap pelaksanaan projek yang cekap dan berkualiti tinggi. 

 

Menara pertama itu disiapkan dalam tempoh kurang enam bulan, berbanding sasaran asal sembilan bulan. 

 

Pencapaian tersebut bukan sahaja mempercepatkan jaringan hubungan di kawasan luar bandar, tetapi juga mengurangkan jurang digital yang wujud di Malaysia.

 

Bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek Jendela, Theta memulakan pemasangan menara telekomunikasi secara serentak di semua tujuh negeri bermula Februari 2022. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge Berhad, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, penglibatan syarikat dalam projek Jendela penting bagi kemajuan digital Malaysia. 

 

"Dengan meningkatkan jaringan internet dan membina kemudahan telekomunikasi yang kukuh terutamanya di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan, Theta membantu memperkasakan komuniti, usahawan kecil dan pelajar dengan menyediakan akses penting kepada sumber digital.

 

"Pendekatan kami sejajar dengan Rangka Tindakan Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan komitmen terhadap inovasi yang bukan sahaja menyokong sasaran negara, tetapi juga meletakkan Theta sebagai peneraju dalam memajukan ekonomi digital Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kejayaan Theta dalam Fasa 1 Jendela mengukuhkan keyakinan awam terhadap keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek kompleks dan berskala besar. 

 

Rekod prestasi cemerlang dan komitmen jelas terhadap kecemerlangan operasi meletakkan Theta dalam posisi utama untuk membida Jendela 2. 

 

Penglibatan Theta dalam inisiatif Jendela mencerminkan komitmennya terhadap masa depan digital negara. 

 

Kerjasama rapat antara Theta, kerajaan dan pihak berkepentingan telah berjaya mempercepatkan pelaksanaan kemudahan kritikal untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya. 

 

Selain meningkatkan jaringan hubungan, usaha itu turut merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar, di mana perniagaan dan komuniti kini mempunyai akses digital yang diperlukan untuk memacu masa depan berdaya digital.

 

Dengan pengurusan yang berkesan, inovasi dan pendekatan berorientasikan hasil, Theta terus meningkatkan kepuasan pelanggan dan mengembangkan jangkauan pasaran. - DagangNews.com