TNB perkenal MyDigital ID sebagai pilihan log masuk tambahan untuk pengguna myTNB | DagangNews Skip to main content

TNB perkenal MyDigital ID sebagai pilihan log masuk tambahan untuk pengguna myTNB

Gambar/myTNB
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pengintegrasian MyDigital ID sebagai pilihan Log Masuk Tunggal (SSO) tambahan dalam platform myTNB, yang dijadualkan pada awal 2025. 

 

Pilihan tambahan itu membolehkan pelanggan log masuk menggunakan MyDigital ID, sekiranya mereka memilih rumusan identiti digital berintegrasi.

 

Inisiatif tersebut selaras dengan komitmen TNB dalam menyokong agenda MyDIGITAL, yang bertujuan memudahkan pengurusan identiti digital di Malaysia sambil menawarkan kemudahan dan keselamatan tambahan kepada pelanggan. 

 

Dengan pengintegrasian MyDigital ID, TNB menyediakan satu lagi cara yang selamat bagi pengguna myTNB untuk mengakses akaun mereka dengan jaminan perlindungan identiti yang kukuh.

 

Dengan integrasi ciri SSO MyDigital ID, pengguna myTNB dapat mengakses pelbagai perkhidmatan TNB sambil menikmati perlindungan yang lebih baik terhadap kebocoran data dan penipuan melalui pengesahan identiti digital yang terpusat.

 

Pengintegrasian MyDigital ID dalam platform myTNB sejajar dengan pelan MyDIGITAL negara, satu visi nasional untuk memupuk Malaysia yang berdaya digital. 

 

Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang menawarkan MyDigital ID, TNB menyokong matlamat digital negara, menyediakan pengalaman yang lancar dan selamat bagi mereka yang memilih pilihan log masuk ini.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB komited untuk meningkatkan perjalanan digital pelanggan.

 

"Kami teruja untuk menawarkan MyDigital ID sebagai satu cara yang mudah dan selamat bagi pelanggan kami mengakses akaun myTNB mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengintegrasian MyDigital ID ke dalam myTNB menawarkan pelbagai manfaat, termasuk log masuk tanpa halangan yang memberikan akses kepada pelbagai perkhidmatan TNB, sekali gus memudahkan pengalaman pengguna.

 

Selain itu, aspek keselamatan dipertingkatkan juga dapat membantu pelanggan melindungi data peribadi daripada penipuan dan akses tidak sah, sementara pengalaman pengguna yang diperbaiki membolehkan pelanggan mengakses lebih cepat dan lancar kepada perkhidmatan TNB tanpa kerumitan.

 

"Keselamatan digital adalah isu yang semakin penting dalam dunia yang saling berhubung hari ini, dan MyDigital ID adalah cara kami memastikan pelanggan boleh mempercayai platform yang mereka gunakan," kata Megat Jalaluddin.

 

Pada awal 2025, pengguna myTNB terpilih akan dijemput untuk mencuba pilihan log masuk MyDigital ID dalam fasa pelancaran awal. 

 

Mereka akan menerima jemputan eksklusif untuk mengemas kini aplikasi myTNB, membolehkan mereka mengalami manfaat MyDigital ID secara langsung. - DagangNews.com