KUALA LUMPUR 31 Dis - TT Vision Holdings Bhd (TTVHB) melalui anak syarikat penuhnya, TT Vision Technologies Sdn Bhd (TT Vision), menerima pesanan pembelian sistem pemprosesan imej daripada pelanggan utama, dalam satu kontrak bernilai RM8.74 juta.
TTVHB berkata, kontrak tersebut dijangka diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
"Kontrak ini tidak akan mengubah struktur pemilikan saham dalam syarikat, sebaliknya ia dijangka memberi sumbangan positif terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025," katanya dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Kumpulan juga tidak menjangka sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pembekalan produk.
"TTVHB akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani sebarang risiko yang timbul dan akan bertindak mengikut situasi berdasarkan pengalaman dan kepakaran," tambahnya. - DagangNews.com