KUALA LUMPUR 29 Nov - AirAsia X Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM121.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) berbanding RM5.6 juta bagi suku sama tahun sebelumnya disokong sumbangan tukaran wang asing yang lebih tinggi.
Kumpulan itu berkata, hasil juga meningkat sebanyak 23% kepada RM795 juta berbanding RM648.4 juta pada 3QFY23.
Pada suku berkenaan, AirAsia X membawa sejumlah 1,084,049 penumpang, meningkat sebanyak 34% dengan PLF meningkat empat mata peratusan kepada 84% berbanding 3QFY23.
"Permintaan yang mampan dalam pasaran terbukti dengan PLF yang sihat walaupun kapasiti tempat duduk meningkat sebanyak 27% kepada lebih 1,284,871 tempat duduk, dengan kumpulan meningkatkan pesawat operasinya kepada 16 daripada 14 tahun lepas.
"Hasil sampingan bagi setiap penumpang terus berkembang maju pada RM247, meningkat sebanyak 4%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pendapatan syarikat bersekutu ,AirAsia X Thailand (TAAX) meningkat sebanyak 5% kepada RM300.7 juta, apabila jumlah penumpang yang dibawa meningkat kepada 342,533 penumpang pada 3QFY24 manakala PLF kukuh pada 80%.
Pada suku dalam tinjauan, TAAX merekodkan tambang purata yang kukuh sebanyak RM613, dirangsang lagi oleh hasil sampingan yang sama teguh bagi setiap penumpang sebanyak RM132. TAAX mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55 juta untuk 3QFY24.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, perjalanan pengaktifan semula armada adalah mencabar kerana kekurangan alat ganti kekal sebagai komplikasi yang berlarutan dalam industri.
Beliau berkata, kumpulan itu berada di peringkat akhir penglibatan dengan pemberi pajak untuk induksi satu pesawat tambahan pada awal 2025, menjadikan saiz armada kepada 19 pesawat menjelang separuh pertama tahun depan.
"Pada bulan ini, AirAsia X melancarkan penerbangan sulung ke Nairobi, menandakan usaha pertamanya ke benua Afrika. Kami yakin dengan potensi rantau ini akan dibuka, sama seperti kejayaan kami di Kazakhstan.
"Pada 3QFY24, metrik FlyThru adalah positif dengan kira-kira 20% kadar ketersambungan apabila kerjasama dengan kumpulan syarikat penerbangan AirAsia yang lebih luas berkembang maju, dan kami terus bekerjasama dengan rakan kongsi utama kami untuk sokongan tambahan melalui penetapan harga dan insentif yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com