Untung bersih KKB Engineering pada 3QFY24 susut kepada RM8.43 juta kesan kelemahan bahagian pembuatan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih KKB Engineering pada 3QFY24 susut kepada RM8.43 juta kesan kelemahan bahagian pembuatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Untung bersih KKB Engineering Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September (3QFY24) menyusut kepada RM8.43 juta berbanding RM9.72 juta bagi suku sama tahun sebelumnya disebabkan kelemahan pendapatan dalam bahagian pembuatan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM143.1 juta berbanding RM140.1 juta pada 3QFY23.

 

Katanya, hasil kumpulan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) meningkat 32.1% kepada RM402.7 juta berbanding RM304.9 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Pemacu utama peningkatan hasil datang daripada bahagian Fabrikasi Keluli keluli dalam bahagian kejuruteraan tetapi diimbangi oleh hasil yang lebih rendah daripada bahagian pembuatan.

 

"Keuntungan kasar umpulan susut 16.2% kepada RM12.9 juta pada suku semasa berbanding RM15.4 juta yang dicatatkan pada suku ketiga tahun sebelumnya di tengah-tengah sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada bahagian Pembinaan Awam ditambah dengan prestasi lemah bahagian pembuatan disebabkan kepada aktiviti yang lebih perlahan.

 

"Bagaimanapun, bagi 9MFY24, keuntungan sebelum cukai kumpulan sebanyak RM43.7 juta meningkat sebanyak 17.1% berbanding RM37.4 juta dalam tempoh perbandingan tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh prestasi lebih kukuh bahagian Fabrikasi Keluli dalam bahagian kejuruteraan," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu secara aktif mengambil bahagian dalam tender, meneruskan pelbagai projek kejuruteraan dan pembinaan, terutamanya projek berkaitan dengan pembekalan, pemasangan dan pentauliahan paip air dan lain-lain kerja berkaitan keluli atau infrastruktur di seluruh Sarawak dan Sabah untuk menambah buku pesanan untuk bahagian kejuruteraan dan pembuatan.

 

"Walaupun berdepan ancaman kesan buruk daripada turun naik harga bahan mentah, kumpulan sentiasa mengekalkan usahanya ke atas pengurusan kos, kualiti produk dan kecekapan operasi untuk meningkatkan lagi hasil operasinya.

 

"Kumpulan terus menguruskan cabaran ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi global, peningkatan kos akibat tekanan inflasi, turun naik harga keluli bahan mentah global dan turun naik kadar pertukaran adalah antara faktor yang boleh memberi kesan kepada prestasi mereka," katanya. - DagangNews.com