Uzma Berhad lakar sejarah menerusi pelancaran satelit pemerhati Bumi pertama negara, UzmaSAT-1 | DagangNews Skip to main content

Uzma Berhad lakar sejarah menerusi pelancaran satelit pemerhati Bumi pertama negara, UzmaSAT-1

Detik-detik pelancaran UzmaSAT-1 turut disiarkan secara langsung di Menara Uzma.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Jan - Uzma Berhad (Uzma) mencatat sejarah menerusi pelancaran satelit Pemerhatian Bumi (EO) beresolusi tinggi komersial pertama Malaysia, sekali gus menandakan pencapaian penting untuk Uzma dan Malaysia dalam memajukan industri angkasa negara.

 

Pelancaran UzmaSAT-1 bersama kapal angkasa Falcon 9 Transporter 12 oleh SpaceX itu dibuat pada pukul 3.09 pagi waktu Malaysia hari ini, di Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg, California, Amerika Syarikat.

 

Ia tiba di orbit rendah bumi kira-kira pukul 4.06 pagi selepas 57 minit 35 saat dilancarkan.

 

 

Pencapaian tersebut mencerminkan langkah besar dalam keupayaan Malaysia untuk memimpin teknologi geospatial canggih di rantau ini. 

 

Sebagai sebahagian daripada rantaian lebih 25 satelit yang diuruskan oleh Satellogic, UzmaSAT-1 akan memberikan imejan beresolusi tinggi submeter (sehingga 50cm setiap piksel) serta data untuk membolehkan industri dan kerajaan membuat keputusan berasaskan data dengan lebih bijak.

 

uzma
Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI, Mohammad Fadhli Jamaluddin (kanan) memberi penerangan tentang keupayaan UzmaSAT-1 di Menara Uzma.

 

Satu imej tunggal daripada UzmaSAT-1 mengandungi sehingga 1GB data, meliputi kawasan seluas 50 kilometer persegi dengan resolusi ditingkatkan sehingga 50cm. 

 

Teknologi itu menyediakan pandangan yang tiada tandingan untuk pelbagai aplikasi dalam sektor utama seperti pertanian, perladangan, tenaga, pertahanan, tindak balas bencana dan pemantauan.

 

Pelancaran UzmaSAT-1 selaras dengan dua inisiatif kebangsaan penting iaitu Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) dan Pelan Strategik Industri Angkasa Malaysia 2030 (SISP2030). 

 

uzma
Gambar/FB Geospatial AI Sdn Bhd - UZMA Group

 

MSE2030 menyediakan kerangka visi untuk mendorong kemajuan saintifik dan inovasi teknologi dalam penerokaan angkasa, manakala SISP2030 merancang usaha strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi angkasa global menjelang tahun 2030.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uzma Berhad, Dato’ Kamarul Redzuan Muhamed berkata, selepas menceburi sektor minyak dan gas selama berpuluh-puluh tahun, kumpulan meneroka industri angkasa lepas selaras dengan perjalanan peralihan dalam pendigitalan, inovasi dan teknologi. 

 

"Prinsip asas yang mendorong kejayaan kami dalam tenaga, iaitu ketepatan, daya tahan dan inovasi juga merupakan kunci kejayaan dalam kecerdasan geospatial. 

 

"Dengan meneroka angkasa, kami bukan sahaja mencari peluang baharu, tetapi juga membuka jalan ke arah masa depan yang mampan dan dipacu teknologi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelancaran satelit itu turut disiarkan secara langsung di Menara Uzma, dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI, Mohammad Fadhli Jamaluddin, pengurusan kanan dan kakitangan syarikat.

 

Katanya, UzmaSAT-1 adalah bukti cita-cita kumpulan untuk menyumbang kepada hasrat angkasa Malaysia di bawah kerangka MSE2030 dan SISP2030. 

 

uzma
Mohammad Fadhli Jamaluddin membuat panggilan video dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uzma Berhad, Dato’ Kamarul Redzuan Muhamed yang berada di tapak pelancaran UzmaSAT-1.

 

"Dengan memupuk kepakaran tempatan dan mendorong pertumbuhan teknologi, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi angkasa di Asia Tenggara," ujarnya.

 

Pelancaran itu juga memperkukuh keupayaan platform Uzma Digital Earth (UzmaDE), satu rumusan analitik data dan kecerdasan buatan (AI) geospatial yang canggih. 

 

UzmaDE sudah pun beroperasi, menyediakan perkhidmatan geospatial AI dengan memanfaatkan data daripada pelbagai sumber satelit.

 

Dengan penambahan UzmaSAT-1, platform tersebut akan memperluas keupayaan pemprosesan data untuk menawarkan analisis data yang lebih tepat dan berkesan.

 

Melalui UzmaSAT-1 dan UzmaDE, kumpulan memacu inovasi dan mencipta peluang dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia. 

 

Kamarul Redzuan dalam pada itu berkata, visi kumpulan adalah untuk membangunkan industri dari dalam, membawa teknologi canggih ke Malaysia dan melatih rakyat tempatan untuk memanfaatkan teknologi. 

 

"UzmaSAT-1 merupakan langkah pertama bagi Uzma, dan kami teruja untuk meneroka lebih banyak kemungkinan dan peluang dalam sektor ini," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek sektor itu, beliau berkata, kumpulan menjangkakan UzmaDE akan berkembang dengan ketara seiring dengan peningkatan kesedaran terhadap perkhidmatan. 

 

"Kami yakin industri angkasa lepas mempunyai potensi untuk turut menyumbang secara signifikan kepada portfolio syarikat, seiring dengan perkhidmatan minyak dan gas kami.

 

"Pelancaran UzmaSAT-1 menandakan permulaan era baharu untuk Uzma dan Malaysia dalam teknologi angkasa lepas," jelasnya. - DagangNews.com