Weststar Aviation pelawa graduan berkelayakan sertai program perantis | DagangNews Skip to main content

Weststar Aviation pelawa graduan berkelayakan sertai program perantis

Weststar Aviation merupakan peneraju dalam perkhidmatan sewaan helikopter di rantau ini.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 18 Nov - Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (Weststar Aviation) menawarkan program perantis Weststar Apprenticeship Scheme (WAS) Protege kepada graduan yang berkelayakan untuk menyertai syarikat tersebut.

 

Tawaran ini dipaparkan pada laman web syarikat yang mana graduan terpilih nanti akan diambil bekerja secara kontrak selama 12 bulan.

 

Ini bagi mengisi pelbagai jawatan di ibu pejabat Kuala Lumpur, Butterworth (Pulau Pinang), Ketereh (Terengganu), Kota Bharu (Kelantan) dan Kuching (Sarawak).

 

 

Menurut laman web tersebut, pengambilan dibuka sehingga Disember ini bagi kemasukan pada Februari 2025 dengan lebih 20 bidang tugas ditawarkan. 

 

Helikopter

 

Helikopter

 

 

Syarat kelayakan adalah memiliki pengalaman kerja kurang daripada dua tahun untuk memohon jawatan di bawah sebagai skim WAS. 

 

“Program Protege meneruskan komitmen sedia ada Westar Aviation ke arah mengembangkan kumpulan bakat Malaysia. 

 

“Protege bertujuan untuk melengkapkan graduan Malaysia dengan kemahiran dan pengalaman yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia korporat. 

 

“Program 8 bulan menggabungkan latihan kelas kemahiran insaniah intensif dan peluang latihan sambil bekerja.

 

“Ia menawarkan kemahiran praktikal dan pengalaman kehidupan sebenar untuk membina asas yang kukuh untuk masa depan yang berjaya,” ujar kenyataan tersebut.

 

 

Helikopter

 

Helikopter
Helikopter AW139 yang disewa TUDM daripada Westar Aviation.

 

 

Westar Aviation merupakan penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara dengan helikopter dianggarkan lebih 40 buah.

 

Kumpulan itu juga peneraju dalam perkhidmatan tersebut melibatkan kerja-kerja mengangkut pekerja ke pelantar pengeluaran dan pelantar penggerudian luar pantai.

 

Sepertimana diketahui, kerajaan baru-baru ini telah memutuskan untuk menyewa 28 buah helikopter bagi pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Sebelum ini Westar Aviation telah disebut-sebut sebagai vendor baharu bagi menawarkan sewaan 12 buah helikopter AW149 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pengganti Nuri.

 

Helikopter
Helikopter Leonardo AW149 dikatakan bakal menggantikan pesawat Nuri.

 

Helikopter

 

 

Ketika ini syarikat berkenaan menyewakan 4 buah helikopter jenis Leonardo AW139 kepada TUDM.

 

Kerajaan pada tahun 2022 menganugerahkan kontrak tersebut berikutan perlu mendapatkan khidmat helikopter utiliti dengan segera.

 

Menerusi perkhidmatan sewaan tersebut, segala aspek berkaitan penyelenggaraan pesawat, alat ganti dan penjagaan di hangar dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan Westar Aviation.

 

Penyewaan helikopter untuk kegunaan ATM adalah lebih menjimatkan kewangan kerajaan kerana helikopter yang disewa membabitkan perkhidmatan logistik dan bukannya untuk pertempuran. - DagangNews.com