Yinson GreenTech perkenal Hydroglyder, bot hidrofoil elektrik sepenuhnya pertama di Singapura | DagangNews Skip to main content

Yinson GreenTech perkenal Hydroglyder, bot hidrofoil elektrik sepenuhnya pertama di Singapura

Oleh Shamsiah Zulkafli

SINGAPURA 20 Nov - Yinson GreenTech buat pertama kali memperkenalkan bot hidrofoil elektrik sepenuhnya pertama di rantau ini, Hydroglyder, semasa Offshore Energy Week (OSEA) 2024 yang diadakan di Marina Bay Sands pada Selasa. 

 

Direka untuk pemindahan kru, Hydroglyder menandakan satu langkah penting ke arah inovasi maritim yang lestari, membolehkan perjalanan yang lebih mesra alam di perairan Singapura.

 

Dibangunkan dengan kerjasama Lift Ocean dan Zeabuz, Hydroglyder direka untuk mendefinisikan semula pemindahan kru dan pengangkutan penumpang. 

 

Mampu membawa sehingga 12 penumpang dengan kelajuan maksimum 25 knot, ia menawarkan alternatif lestari kepada bot berkuasa bahan api fosil, memberikan pengalaman perjalanan yang lebih hijau, selesa dan senyap.

 

Sistem hidrofoil Hydroglyder mengangkat badan bot di atas air, mengurangkan daya geseran dan penggunaan tenaga dengan ketara. 

 

Reka bentuk inovatif itu menghasilkan pengurangan penggunaan tenaga sehingga 80% dan kos operasi sehingga 90% berbanding bot konvensional.

 

Pelancaran Hydroglyder pada hari pembukaan bertemakan pengurangan karbon menekankan potensi transformasi teknologi hidrofoil dalam memajukan inovasi tanpa emisi dan membentuk masa depan maritim yang lestari. 

 

Sebagai bot hidrofoil elektrik sepenuhnya pertama di Singapura, Hydroglyder menyokong visi Pelan Pengurangan Karbon Maritim Singapura (MPA) untuk semua kapal pelabuhan baharu beroperasi sepenuhnya dengan elektrik atau dikuasakan oleh bahan api rendah karbon menjelang 2050, mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai pemimpin global dalam amalan maritim lestari.

 

Sebagai pelengkap kepada pelancaran Hydroglyder, Yinson GreenTech juga memperkenalkan Platform Digital Marin marinEV, yang menguatkan hubungan penting antara elektrifikasi dan digitalisasi dalam operasi maritim yang lestari. 

 

Platform berkenaan membolehkan tempahan, penjejakan dan pelaporan yang mudah, meningkatkan keselesaan pengguna dengan ciri-ciri akan datang seperti perancangan dan pengoptimuman laluan untuk mengurangkan emisi dalam pengangkutan laut jarak pendek.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Greentech, Eirik Barclay berkata, pihaknya percaya masa depan pengangkutan maritim terletak pada pertembungan antara elektrifikasi dan digitalisasi.

 

"Hydroglyder dan Platform Digital Marin kami memberikan penyelesaian komprehensif yang bukan sahaja mengurangkan emisi, tetapi juga mendefinisikan semula cara perniagaan mengurus operasi mereka, membuka jalan ke arah masa depan yang benar-benar tanpa karbon," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan marinEV, Jan-Viggo Johansen menyifatkan, Hydroglyder mencerminkan visi masa depan yang lestari dalam pengangkutan maritim.

 

"Reka bentuknya yang cekap tenaga dan teknologi tanpa emisi menawarkan penyelesaian praktikal dan mesra alam untuk menyokong perniagaan yang komited kepada operasi maritim yang lebih hijau, dan sudah tentu memberikan perjalanan yang lebih selesa untuk pelaut kami," ujar beliau.

 

Sebagai sebahagian daripada portfolio kapal elektrik dan autonomi Yinson GreenTech di darat dan laut, inovasi Hydroglyder dan Hydromover marinEV, kapal kargo ringan elektrik sepenuhnya pertama di Singapura, menawarkan penyelesaian pengangkutan hijau yang bersedia untuk masa depan bagi pengangkutan penumpang dan kargo di perairan ASEAN dan seterusnya.

 

Yinson GreenTech telah memperoleh pembiayaan daripada OCBC, satu dorongan penting yang akan mempercepat pembangunan dan pelaksanaan teknologi terbabit. 

 

Kerjasama pembiayaan strategik dengan OCBC itu menyokong matlamat syarikat untuk Hydroglyder dan menekankan komitmen bank dalam memupuk kemajuan yang berinovasi dalam teknologi lestari.

 

Ketua Perbankan Komersial Global OCBC, Linus Goh berkata, pihaknya berbangga menyokong Yinson GreenTech dalam pembangunan Hydroglyder yang akan mengubah sektor kapal pelabuhan Singapura. 

 

"Di OCBC, kami komited untuk bekerjasama dengan pemain industri yang memacu usaha lestari dalam ekosistem maritim selaras dengan matlamat pengurangan karbon MPA, membantu mewujudkan masa depan yang lebih lestari untuk semua," jelasnya. - DagangNews.com