Terma Perdagangan Malaysia berkurang 0.9 peratus pada Julai 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Terma Perdagangan Malaysia berkurang 0.9 peratus pada Julai 2024 - DOSM

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Harga eksport Malaysia pada Julai 2024 merosot 0.6 peratus daripada 151.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.2 mata, manakala harga import meningkat 0.3 peratus kepada 130.4 mata.

 

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia berkurang 0.9 peratus bulan ke bulan kepada 115.2 mata, sebagaimana dipaparkan oleh laporan INDEKS PERDAGANGAN LUAR NEGERI (2010=100), Julai 2024 pada hari ini.

 

Penerbitan ini memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC).

 

Ketua Perangkawan, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, indeks nilai seunit eksport jatuh 0.6 peratus pada Julai 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-3.6%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-2.1%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.5%).

 

Namun begitu, indeks volum eksport naik 4.7 peratus selaras dengan kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+39.7%), bahan kimia (+12.1%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+10.5%).

 

 

parafrasa

 

 

Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut meningkat 13.5 peratus daripada 149.0 mata kepada 169.1 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 6.1 peratus dan 5.9 peratus.

 

Indeks nilai seunit import menokok 0.3 peratus pada Julai 2024, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (+5.1%) dan makanan (+0.1%).

 

Sementara itu, indeks volum import turut naik 11.3 peratus pada Julai 2024 berbanding Jun 2024, disumbangkan oleh kenaikan indeks makanan (+23.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+20.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+16.9%).

 

Indeks volum import pelarasan bermusim bertambah 20.6 peratus daripada 186.2 mata kepada 224.6 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 2.2 peratus dan 22.7 peratus.

 

Pada masa yang sama, terma perdagangan Malaysia merosot 0.9 peratus bulan ke bulan kepada 115.2 mata pada Julai 2024, didorong oleh kejatuhan indeks minyak galian (-8.3%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-1.8%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.4%).

 

Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun bertambah 3.8 peratus daripada 111.0 mata pada Julai tahun lalu. - DagangNews.com