KUALA TERENGGANU 8 Ogos - Kemelut ekonomi global dan pandemik COVID-19 telah menyebabkan krisis sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dalam mendepani cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup pada masa akan datang.
Namun, pelbagai inisiatif dan bantuan tunai langsung yang diperkenalkan kerajaan secara bersasar terhadap semua lapisan masyarakat berjaya membantu rakyat untuk bangkit semula.
Terbaru, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membangunkan satu lagi projek komuniti iaitu ternakan kelulut kepada penduduk di Kampung Pengkalan Gelap dekat Setiu, Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh berkata ternakan kelulut itu dengan inovasi teknologi 'smart hive' adalah antara projek pemindahan ilmu kepada komuniti yang dirintis oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk kampung.
"Ini selaras peranan YIM untuk mengenal pasti, menjejak dan menyokong pembangunan inovasi di peringkat akar umbi yang mempunyai nilai pasaran bagi meningkatkan pendapatan berterusan masyarakat luar bandar melalui pendekatan inovasi sosial.
"YIM komited projek ini akan dapat dilaksanakan dengan cemerlang sekaligus memberi impak positif kepada penduduk kampung ini yang sangat terkenal sebagai lokasi eko pelancongan berasaskan alam semulajadi iaitu di Tanah Bencah Setiu (wetland)," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Selain projek ternakan kelulut itu, YIM juga telah menyalurkan geran pembangunan kepada beberapa projek daripada inovator akar umbi antaranya MyEziPrint (kiosk pencetak layan diri), E-beca Terengganu, bubu darat, minyak kayu putih daripada pokok gelam, kandang kambing komposit mesra persekitaran (RA Barn), DooBiker, teknologi pengeringan cendawan untuk Industri Kecil Sederhana (IKS) dan The Component (Semicon Gameboard).
Tambahnya, YIM sentiasa berusaha untuk mewujudkan ekosistem inovasi sosial yang kondusif yang dipacu oleh sains dan teknologi untuk pembangunan mampan.
"Dalam hal ini, YIM berusaha untuk mewujudkan 500 projek inovasi sosial direplikasi dan dikomersialkan di seluruh negara melalui tadbir urus inovasi sosial yang responsif dengan mewujudkan 5,000 pekerjaan.
"Di Terengganu pula, antara program yang telah berjaya dijalankan ialah Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan untuk meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mampu mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup dan keluar dari kemiskinan.
"MOSTI juga anjurkan pertandingan Inovasi Beca Terengganu Secara Dalam Talian, Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu yang lengkap bagi menggarap idea kreatif dan inovatif dalam menangani isu-isu sosio-ekonomi dan setempat," katanya.
Antara geran pembangunan atau dana yang diselia oleh YIM adalah Program Malaysia Social Innovation (MySI) – kini dikenali sebagai MyIS Komuniti yang menawarkan dana pembangunan berjumlah sehingga RM300,000 bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.
Beliau berkata keutamaan diberi kepada golongan B40 dan kumpulan yang terkesan akibat COVID-19 melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi R&D tempatan berinovatif yang telah dibangunkan dan sedia dilaksanakan secara mampan.
"Sejak Januari 2015-2020, sebanyak 234 projek telah menerima dana MSI/MySI dan seramai 100,000 orang menerima manfaat melalui replikasi projek berasaskan teknologi R&D yang berinovatif.
"Setakat ini, sebanyak 300 keluarga dan komuniti setempat di Terengganu telah menerima manfaat daripada program MyIS," katanya yang berharap lebih banyak produk inovasi akan dihasilkan dalam kalangan komuniti pada masa akan datang. - DagangNews.com