Tex Cycle beli 60% kepentingan Safety & Environmental Laboratory pada harga RM8.4 juta | DagangNews Skip to main content

Tex Cycle beli 60% kepentingan Safety & Environmental Laboratory pada harga RM8.4 juta

(Dari kiri) Pengarah Eksekutif Tex Cycle, Lee Hai Peng; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass; Pengarah Urusan Safety & Environmental Laboratory Sdn. Bhd., Kaliswaran A/L Palanisamy; dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tex Cycle, Geraldine Hii.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Penyedia penyelesaian pengurusan sisa dan kitar semula, Tex Cycle Technology (M) Bhd membeli 60% kepentingan ekuiti, iaitu kira-kira RM8.4 juta dalam Safety & Environmental Laboratory Sdn. Bhd. (SEL) pada Isnin bagi mempertingkatkan lagi perkhidmatannya dalam ujian dan pematuhan alam sekitar. 

 

SEL merupakan makmal yang memenuhi keperluan Kesihatan & Keselamatan (EHS) terutamanya dalam perkhidmatan pemantauan dan analisis alam sekitar.

 

Menurut terma perjanjian, pembelian itu memberikan Tex Cycle jaminan keuntungan melalui keuntungan selepas cukai (PAT) yang tidak kurang daripada RM2 juta bagi setiap tahun kewangan berakhir 2024 dan 2025.

 

Tex Cycle berkata, pembelian kepentingan SEL menjaminkan nilai aset ketara bersih tidak kurang daripada RM4.4 juta pada tarikh siap. 

 

"Pembelian ini membolehkan kami mengembangkan perkhidmatan termasuk perkhidmatan persekitaran, kesihatan dan keselamatan yang komprehensif melalui pasukan pakar SEL dan perkhidmatan makmal bertauliah.

 

"Di samping itu, pembelian strategik itu dijangka meningkatkan keupayaan kami, menggalakkan capaian geografi dan operasi luas, mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia penyelesaian alam sekitar yang komprehensif dan mengukuhkan keupayaan dalaman kami untuk analisis sampel kimia, sisa dan alam sekitar serta perkhidmatan EHS," ujar TexCycle dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass A/L Anthony Francis berkata, pembelian strategik itu juga akan memperkenalkan perkhidmatan ujian makmal ke dalam portfolio syarikat, membuka peluang perniagaan baharu yang luas untuk Tex Cycle. 

 

"Dengan menyepadukan kepakaran dan perkhidmatan SEL dalam operasi membolehkan kami menawarkan penyelesaian alam sekitar, kesihatan dan keselamatan yang komprehensif sejajar dengan matlamat kami untuk meningkatkan kepelbagaian perkhidmatan dan kecemerlangan operasi, memastikan kami terus memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang," ulasnya. 

 

Pengarah Urusan SEL, P. Kaliswaran berkata Kerjasama itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan syarikat tetapi juga meluaskan pencapaian, menawarkan perkhidmatan ujian makmal khusus ke pasaran yang lebih luas. 

 

"Kerjasama ini memberikan peluang jualan silang yang besar, membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan masing-masing memberikan penyelesaian yang inovatif kepada pelanggan kami," ujar beliau.- DagangNews.com