Texchem catat peningkatan hasil 12% kepada RM570 juta pada 1HFY24 didorong pemulihan segmen kejuruteraan industri | DagangNews Skip to main content

Texchem catat peningkatan hasil 12% kepada RM570 juta pada 1HFY24 didorong pemulihan segmen kejuruteraan industri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Texchem Resources Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 12.1% kepada RM570.4 juta bagi separuh tahun pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) berbanding RM509 juta bagi tempoh sama tahun lalu didorong pemulihan dalam segmen kejuruteraan industri dan polimer.

 

Kumpulan itu berkata, kerugian bersih bagi tempoh itu juga menyusut kepada RM400,000 berbanding RM6.5 juta pada 1HFY23.

 

Katanya, hasil kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat 22.6% kepada RM294.7 juta berbanding RM240.5 juta pada 2QFY23.

 

"Peningkatan dua angka itu disebabkan jualan lebih tinggi merentasi semua perniagaan terasnya, menyebakan Texchem kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1 juta pada suku semasa berbanding kerugian bersih RM6.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pengerusi Eksekutif Texchem, Tan Sri Dr Fumihiko Konishi berkata, prestasi itu menandakan pemulihan positif kumpulan an pihaknya akan meneruskan usaha bagi terus meningkatkan pencapaian pada masa hadapan.

 

Beliau berkata, bahagian perindustrian mencapai pertumbuhan hasil 25.5% kepada RM134.7 juta didorong usaha berterusan bagi meningkatkan jualan. 

 

Katanya, hasil daripada bahagian kejuruteraan polimer melonjak 35.2% kepada RM56.9 juta berikutan pemulihan dalam sektor semikonduktor, pemacu cakera keras dan perubatan sains hayat.

 

Secara berasingan, bahagian makanan dan restoran mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 17.3% dan 10.6% , masing-masing mencecah RM32.5 juta dan RM69.6 juta.

 

"Melihat kepada bahagian kejuruteraan polimer, pengeluaran besar-besaran bagi projek tertentu yang bermula pada suku terakhir 2023 semakin mendapat momentum dan telah mula menyumbang secara positif kepada kumpulan.

 

"Persekitaran operasi perniagaan bagi bahagian makanan dan restoran kekal mencabar. Bagaimanapun, inisiatif berterusan bahagian restoran untuk menangani kesukaran telah mula menunjukkan hasil," katanya. - DagangNews.com