Think City lancar Geran Komuniti K2K perkasa komuniti perumahan awam | DagangNews Skip to main content

Think City lancar Geran Komuniti K2K perkasa komuniti perumahan awam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Think City, sebuah organisasi impak utama dalam peremajaan bandar, melancarkan Geran Komuniti K2K, sebuah program geran dirangka untuk memperkasa komuniti di perumahan awam.

 

Organisasi itu berkata, inisiatif tersebut merupakan antara komponen utama dalam usaha meningkatkan daya tahan, kemampanan bandar dan persekitarannya. 

 

Sepanjang dekad lalu katanya, Think City bekerjasama dengan pelbagai komuniti di seluruh negara untuk membangunkan pemahaman serta kepakaran dengan lebih mendalam bagi menangani kekangan taraf hidup yang dihadapi komuniti perumahan awam di Malaysia. 

 

"Oleh itu, program Kita-untuk-Kita (K2K) dibangunkan sebagai inisiatif pelaburan awam untuk mempertingkatkan pembangunan sosial dan pembinaan kapasiti komuniti justeru menangani cabaran daya huni komuniti perumahan awam," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, geran yang dilancarkan pada April 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaksanakan di 10 projek perumahan awam terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor. 

 

Katanya, salah satu usaha K2K merangkumi inisiatif geran yang dipacu komuniti perumahan awam, dikenali sebagai Geran Komuniti K2K. Dengan sokongan Kementerian Kewangan melalui peruntukan Belanjawan Negara, geran itu bertindak sebagai pemangkin penting untuk memupuk transformasi yang diterajui komuniti.

 

Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, daya huni sesebuah perumahan awam terletak kepada penyertaan serta sumbangan komunitinya sendiri. 

 

 

thinkcity

 

 

"Menerusi Geran Komuniti K2K, kami memperjuangkan pendekatan bawah-atas (bottom-up) yang mana usaha-usaha sebagaimana kecil mampu membawa transformasi yang ketara, sekali gus membawa kesan positif. 

 

"Kami teruja untuk menyaksikan rumusan inovatif yang bakal terhasil daripada inisiatif ini serta terus menghilhamkan perubahan di masa akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Hamdan juga menekankan kepentingan bandar-bandar inklusif, menyatakan bahawa bandar perlulah bersifat inklusif dan untuk semua. 

 

"Tanpa perspektif inklusif ini, kita berisiko mewujudkan jurang sosial yang boleh menyebabkan kepecahan dalam kalangan masyarakat. Kemudahan yang mudah diakses, perkhidmatan yang berkualiti, dan kualiti kehidupan yang tinggi adalah aspek-aspek yang amat penting bagi semua individu, termasuklah komuniti perumahan awam," katanya.

 

Katanya, visi itu sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan untuk membentuk semula ekonomi, dan memastikan manfaat yang saksama untuk rakyat. 

 

'Ia juga sejajar dengan misi Think City untuk membentuk bandar yang berjaya dan inklusif, memastikan semua orang, termasuk mereka yang berada di perumahan awam, mempunyai ruang mereka sendiri," katanya.

 

Geran Komuniti K2K menggalakkan kerjasama antara para penduduk setempat untuk melibatkan diri dalam tindakan kolektif dan pelbagai aktiviti bersama, meningkatkan silaturahim dan menangani cabaran kehidupan perumahan awam.

 

Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di 10 tapak yang ditetapkan di Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PPR Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru HICOM dan PPR Lembah Subang 1. - DagangNews.com