Tiada dividen Mynews diumum bagi 2020 | DagangNews Skip to main content

Tiada dividen Mynews diumum bagi 2020

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Buat pertama kalinya sejak disenarai awam, kumpulan syarikat dalam industri runcit, Mynews Holdings Berhad mengumumkan tiada dividen yang dicadangkan untuk dibayar bagi tahun kewangan 2020 (FY20) susulan prestasi kewangan yang buruk.

 

Dalam laporan tahunan kewangannya hari ini, Lembaga Pengarah Mynews terus berhati-hati untuk menjimatkan wang tunai bagi tujuan kelestarian dan pengembangan operasi kumpulan syarikat itu.

 

Setakat FY20, Mynews mempunyai baki tunai dan bank sebanyak RM39.07 juta, menokok RM25.33 juta daripada RM13.74 juta pada FY19, jelas syarikat itu. 

 

“Kumpulan syarikat telah menggunakan dana yang dihasilkan secara dalaman sebanyak RM40.56 juta dan menggunakan kemudahan banknya sebanyak RM31.35 juta untuk membiayai pembukaan dan modal kerja cawangan baharu.

 

“Mynews mempunyai jumlah pinjaman sebanyak RM67.56 juta pada FY20, meningkat daripada tahun sebelumnya sebanyak RM26.06 juta.

 

“Nisbah penggearannya adalah 0.25 kali pada akhir FY20, meningkat daripada FY19 sebanyak 0.11 kali,” jelas Mynews menerusi makluman di Bursa Malaysia. 

 

Bagi tahun kewangan lalu, hasil Mynews merosot RM28.34 juta atau 5.5% kepada RM489.39 juta daripada RM517.73 juta pada FY19. 

 

Mynews mengakui bahawa penurunan itu disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang mendorong kepada penutupan kedainya serta waktu operasi lebih ringkat. 

 

“Purata margin keuntungan kasar adalah lebih rendah sebanyak 3.2% daripada 35.9% kepada 32.7% susulan perubahan dalam campuran penjualan dan diskaun harga yang ditawarkan untuk mempromosi dan memacu jualan,” tambah Mynews.

 

Mynews mencatatkan keuntungan kasar RM159.80 juta bagi FY20, menyusut sebanyak RM26.02 juta atau 14.0% daripada RM185.82 juta pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

Dalam pada itu, kerugian sebelum cukai Mynews menyusut sebanyak RM47.06 juta atau 142.8% kepada RM14.10 juta berbanding keuntungan sebelum cukai pada FY19 iaitu RM32.97 juta.

 

Menurut kumpulan syarikat itu, ini adalah susulan daripada perbelanjaan operasi yang melonjak terutamanya dalam penjualan dan pengedaran (meningkat RM3.06 juta kepada RM87.74 juta), pentadbiran (menyusut RM0.24 juta kepada RM27.09 juta) dan lain-lain (meningkat RM11.62 juta kepada RM55.09 juta). 

 

“Walaupun kami sangat fokus pada jangka pendek untuk menyelaraskan dan menyesuaikan diri, kami juga telah bertindak agresif untuk memposisikan kembali syarikat agar dapat mempertahankan kelestarian jangka panjang dan dapat membangunkan kembali trend pertumbuhan dengan cepat ketika krisis ini selesai.

 

“Faktor risiko utama kami adalah COVID-19. Faktor risiko lain yang kami mesti berhati-hati adalah perbelanjaan pengguna dan kadar pengambilan produk sedia dimakan (RTE) kami yang lebih perlahan.

 

“Mynews menyasarkan untuk bertambah besar dan kukuh seiring dengan peredaran waktu. Prospek kami bergantung kepada jumlah pelancaran kedai myNEWS yang lebih tinggi, pertambahan bilangan kedai konsep Maru Kafe dan penggunaan pusat pemprosesan makanan (FPC) yang berkesan,” jelas Mynews lanjut. - DagangNews.com