Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Perjalanan masih berliku buat Pos Malaysia Bhd. sebelum kembali mencatat keuntungan terutama dalam persekitaran operasi yang mencabar, menurut Kenanga Investment Bank Research.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, kerugian bersih Pos Malaysia meningkat kepada RM121.84 juta daripada RM19.02 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan jatuh kepada RM533.89 juta daripada RM606.08 juta sebelumnya.
Prestasi lemah itu adalah disebabkan hasil rendah dalam segmen pos yang turun sebanyak 9% berikutan kemerosotan perkhidmatan pos disebabkan oleh pengurangan kuantiti surat dan kiriman bungkusan yang dikendalikan terutama daripada pelanggan kontrak.
Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, perniagaan kurier dijangka terus beroperasi dalam persekitaran yang kompetitif disebabkan tekanan harga dan kos.
Tambahan pula, katanya, ketidakupayaan syarikat untuk menutup operasi pejabat pos dan juga kesatuan sekerja menjadikan keuntungan dalam segmen perkhidmatan pos adalah terbatas.
"Segmen penerbangannya pula dijangka terus berdepan kerugian kerana kehilangan pendapatan daripada pengendalian di darat dan juga katering dalam penerbangan, memandangkan sempadan antarabangsa kebanyakannya masih ditutup
"Bagaimanapun, kumpulan sedang berusaha untuk menguruskan kosnya dengan anggaran penjimatan kos tahunan sebanyak RM24 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ini menjadikan firma tersebut mengekalkan saranan 'market perform' ke atas saham Pos Malaysia dengan harga sasaran lebih rendah pada 72 sen berbanding 80 sen sebelum itu berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 tidak berubah pada 10x.
Ia juga mengurangkan anggaran untung bersih bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 9% dengan penurunan berterusan dalam jumlah transaksi (surat dan kurier) memandangkan pemulihan akan didorong oleh permintaan domestik dan masih kekal berhati-hati terhadap pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Menurut Wan Mustaqim, bagi tempoh beberapa bulan sebelum 2021 berakhir, jumlah bungkusan dijangka terus meningkat terutamanya di bawah persekitaran norma baharu dan pengenalan program Pakej yang dilihat akan melonjakkan lebih banyak jumlah kurier.
"Di samping itu, dengan lebih banyak kempen secara talian secara tidak langsung dapat mengimbangi kekurangan pelanggan ke pejabat pos," tambahnya.
Namun, beliau berkata, impak kerugian yang dialami oleh Pos Malaysia ini sedikit sebanyak diatasi dengan hasil yang lebih kukuh menerusi segmen logistik yang kembali mencatat keuntungan menerusi perniagaan pengurusan pengangkutan dan automotif.
Ini termasuk juga pemulihan dalam segmen pernbangan apabila meningkatkan sumbangan daripada gudang e-dagang dan kargo serta perniagaan pengendalian di darat dengan pengurusan kos yang lebih baik, tambahnya.
Sementara itu, Kenanga turut membuat tinjauan terhadap prospek Westports Holdings Bhd. yang berada di bawah liputannya, dengan menjangkakan operasi syarikat pengurusan pelabuhan itu kembali pulih dalam separuh kedua ini.
Wan Mustaqim Wan berkata, situasi lebih baik ini didorong kadar vaksinasi, aktiviti ekonomi domestik dan global kembali normal dan kesan permintaan terpendam (pent-up demand) secara umum.
"Ini dapat dilihat apabila sebahagian besar kapal yang menggunakan kemudahan di Westports berasal dari laluan intra-Asia yang baru-baru ini menyaksikan kelonggaran sekatan dan aktiviti perdagangan kembali," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, pada ketika Westports berada dalam landasan tepat untuk memenuhi pelan pengembangannya, tetapi ia dilihat sebagai prospek jangka panjang dengan terminal tersebut dijangka siap menjelang 2040.
Projek pengembangan bagi terminal kontena baharu yang diluluskan buat masa ini masih menunggu rundingan perjanjian konsesi antara Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS), Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia.
Jumlah perbelanjaan modal (capex) bagi Westports 2 (CT10-17) sebanyak RM10 bilion, akan meningkatkan kapasiti dua kali ganda kepada 27 juta TEU berbanding 14 juta TEU dalam tempoh 20 tahun.
"Kami melihat pelaburan ini adalah bagi tempoh jangka panjang untuk kumpulan, justeru, kami menolak sebarang perkembangan pendapatan selama beberapa tahun akan datang," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran pada RM4.20 ke atas Westports.
Secara keseluruhan, Kenanga mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor pelabuhan dan logistik memandangkan kurangnya pemangkin dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com