Tiada kenaikan pada Januari, MIDF Research jangka OPR cecah 3% menjelang Mac | DagangNews Skip to main content

Tiada kenaikan pada Januari, MIDF Research jangka OPR cecah 3% menjelang Mac

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - MIDF Resarch menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan kembali meningkatkan semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3% seperti sebelum pandemik COVID-19 dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mac ini.

 

Firma itu percaya, penetapan semasa dasar monetari BNM adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang dengan mampan.

 

"Berdasarkan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami meramalkan bank pusat akan kembali menetapkan OPR kepada 3% menjelang Mac.

 

"Kami juga berpendapat bank pusat juga akan kembali menetapkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% daripada 2% pada tahun ini.

 

"Kadar SRR sebelum ini dikurangkan kepada 2% sejak Mac 2020," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

BACA JUGA: BNM kekalkan OPR pada 2.75%, atasi jangkaan penganalisis

 

Firma itu berkata, keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada pertumbuhan ekonomi dan kenaikan harga semasa.

 

Selain itu katanya, kenaikan OPR itu juga dipengaruhi oleh keadaan semasa makroekonomi terutama pemulihan berterusan dalam pasaran tenaga kerja selain peningkatan permintaan dalam pasaran domestik.

 

"Daripada perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi tinggi yang berterusan dan peningkatan lagi dalam hutang isi rumah," katanya. - DagangNews.com