Jangkaan untuk menyaksikan kontrak berimpak tinggi dimeterai Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 lalu meleset apabila tender yang dijangka masih belum diputuskan.
Dua kontrak utama yang disebut-sebut sebelum ini ialah pembelian sistem artileri mudah gerak (SP howitzer) dan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/7368387686064803089.jpg?itok=jzdXmi_l","video_url":"https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7368387686064803089?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7254837072970827265","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}
Ini memberi gambaran bahawa pembelian kedua-dua aset tersebut mungkin masih panjang atau ada perbincangan lanjut mengenainya.
Ketiadaan kontrak utama atau berimpak tinggi juga menunjukkan fasa pemodenan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) nampaknya berjalan perlahan.
Sehubungan itu, walaupun nilai keseluruhan kontrak sebanyak RM7.3 bilion diumumkan Mindef tetapi sebahagian besarnya hanyalah bagi perkhidmatan selenggaraan dan lain-lain.
Perolehan sistem SP sebelum ini disebut banyak pihak akan dimuktamadkan semasa DSA 2024 dengan calon utama ialah Nexter Caesar dari Turkiye manakala pesaingnya EVA buatan Slovakia.
Pada Mac lalu Mindef menafikan keputusan untuk membeli meriam SP telah dibuat dengan menawarkan Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) kepada syarikat Global Komited iaitu dari Kumpulan Weststar bagi perolehan meriam Eva.
Bermakna selagi belum ada keputusan persaingan untuk membekalkan kontrak meriam SP ini masih terbuka.
Sistem Nexter Caesar dikatakan calon paling sesuai memandangkan ia dibangunkan sejak tahun 1998 selain telah melalui beberapa pengubahsuaian dan digunakan dalam peperangan.
Begitu juga dengan kapal LMS apabila ini kali kedua andaian untuk kontrak dimeterai meleset selepas kali pertama pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi pada Mei tahun lalu.
Dikatakan ada beberapa perkara yang sedang dimuktamadkan termasuk jenis persenjataan yang akan dilengkapkan pada kapal ini termasuk peluru berpandu.
Selain dua aset tersebut, umum juga menjangkakan ada pengumuman tentang cadangan pembelian kenderaan perisai pengganti APC Radpanzer Condor.
Ini kerana kerajaan pada 2022 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.049 bilion bagi melaksanakan perolehan tersebut.
Ia untuk membeli 136 buah kenderaan jenis A 4x4 termasuk pelbagai kenderaan jenis B bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.
Kenderaan jenis A 4x4 ialah merujuk pada kereta berperisai iaitu kenderaan tempur yang mampu bertahan daripada tembakan senjata kaliber tertentu.
Radpanzer Condor adalah kenderaan jenis ini yang fungsinya untuk mengangkut dan memberi perlindungan kepada anggota tentera untuk masuk kawasan merbahaya.
Daripada keseluruhan kontrak Mindef yang dimeterai semasa DSA 2024, hanya tujuh membabitkan kelengkapan dan persenjataan kepada ATM.
Kontrak membekalkan 18 unit sistem peluru berpandu antikereta kebal jarak sederhana (ATGW-MR) bernilai RM44.5 juta diterima syarikat Ketech Asia.
Perolehanan ATGW-MR telah pun diketahui sebelumnya yang mana ia bagi menggantikan persenjataan sedia ada iaitu Metis-M yang dibeli pada tahun 2001.
Bagaimana pun, jumlah ini masih kecil untuk melengkapkan keperluan Tentera Darat.
Mindef memberi kontrak kepada Teguh Hiasan membekalkan peluru kaliber 30mm Armoured Piercing Fun Stabilizer Discarding Sabot Tracer (APFSDS-T) bernilai RM38.5.
Manakala Rimbun Emas Defence System membekalkan bom mortar suaran kaliber 81mm sebanyak RM35.6 juta.
Syarikat Destini Prima pula menyelenggara dan membekalkan komponen alat ganti untuk alatan keselamatan peralatan bukan udara TUDM dan bekalan roket kaliber 70mm bernilai RM44.1 juta.
Dua kontrak seterusnya ialah perolehan dua pesawat rondaan maritim (MPA) Fasa 1 untuk TUDM bernilai RM855 juta kepada Leonardo Spa Strada dan RM846 juta bagi penyelenggaraan pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM oleh Aerospace Technology Systems Corps (ATSC).
SMEO Sdn. Bhd. dan Colts Manufacturing LLC pula mendapat kontrak selama tiga tahun membekalkan peluru 5.56mm M193. - DagangNews.com
{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/usQ0Gv8XXcs.jpg?itok=Ai6_Mivl","video_url":"https://youtu.be/usQ0Gv8XXcs","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}