Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Trend penurunan harga purata jualan (ASP) bagi sarung tangan getah, hakikatnya sukar ditentukan penganalisis buat masa ini.
Bagaimanapun, berpandukan kepada taklimat laporan kewangan Top Glove Corp. Bhd. baru-baru ini, unjuran ASP dikurangkan kepada AS$28 hingga AS$35 per 1,000 keping.
Penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon berkata, hasil daripada laporan musim kewangan membabitkan syarikat pengeluar sarung tangan getah menunjukkan trend penurunan ASP adalah lebih pantas daripada jangkaan dan akan terus lemah pada suku akan datang.
Katanya, pasaran kini sedang melalui fasa penyelarasan inventori setelah menyaksikan permintaan tinggi sejak 15 bulan lalu apabila tercetusnya pandemik COVID-19.
"Melihat kepada pembentangan Top Glove bagi suku keempat 2021, kami mendapati ASP jatuh mendadak sebanyak 31% suku ke suku kepada AS$48/1,000 keping.
"Kami percaya ini adalah petunjuk ke arah normalisasi pasaran ASP secara menyeluruh. Setakat ini, sukar untuk kami menentukan sejauh mana ASP akan terus menurun.
"Namun, pengeluar sarung tangan getah berpendapat, ia dijangka tidak mungkin berada di bawah paras harga sebelum pandemik memandangkan struktur kos telah meningkat di samping kos pematuhan sosial dan kos nitril yang masih tinggi," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Sebelum ini Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia menjangkakan permintaan sarung tangan getah kekal bertahan sehingga suku pertama 2022 dengan kadar pertumbuhan purata antara 15% dan 20% setahun berbanding sebelum pandemik pada 8 hingga 10%.
Pemain industri mula mendapat tempahan daripada pengguna baharu seperti syarikat penerbangan, restoran, rangkaian kedai pakaian dan pengendali hotel di samping kesedaran yang meningkat terhadap penjagaan kesihatan meningkatkan penggunaan sarung tangan getah terutama di negara ekonomi baharu muncul.
Bagaimanapun, Ping Khoon berkata, anggaran kapasiti baharu tahunan mungkin tidak dapat direalisasikan seperti dijadualkan, justeru, jumlah kapasiti industri gagal untuk mencapai pertumbuhan permintaan selepas pandemik sebanyak 15% setahun apabila bergerak memasuki 2022.
"Jika ada petunjuk apa yang berlaku sebelum ini, pemain industri akan menyedari masalah lebihan bekalan dan mengambil pendekatan mengurangkan bekalan.
"Semakan kami terhadap pembentangan Top Gloves mendapati syarikat ini mula memperlahankan kapasiti pengembangan sebanyak 14% pada tahun ini, manakala kilang Kossan di Bidor pula dijangka beroperasi pada 2023 dan Hartalega pula akan memulakan operasi NGC 1.5 awal tahun depan," jelasnya.
Dengan menjangkakan ASP akan kembali normal pada separuh pertama 2022 berbanding 2023 sebelum ini, Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor sarung tangan getah.
Memandangkan harga ASP yang tidak lagi menarik, firma itu turut menyemak semula ASP dan anggaran margin bagi Supermax Corp Bhd., Kossan Rubber Industries Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd.
Ia menyemak turun penarafan Supermax dan Kossan kepada 'market perform' berbanding 'out perform' sebelum ini dengan harga sasaran juga disemak lebih rendah masing-masing pada RM2.35 dan RM2.45.
Top Glove dan Hartalega pula masing-masing kekal dengan penarafan 'out perform' pada harga sasaran RM3.60 dan RM8.85.
Untung bersih Hartalega bagi tahun kewangan 2022/2023 disemak turun sebanyak 10%/52% dengan ASP dikurangkan kepada AS$59 berbanding AS$62.
Ini diikuti dengan Supermax apabila untung bersihnya dikurangnya sebanyak 40%/47% masing-masing bagi tahun kewangan 2022/2023 dengan ASP dikurangkan kepada AS$42 berbanding AS$48.
Kossan pula menyaksikan untung bersihnya disemak turun sebanyak 59% bagi tahun kewangan 2022 dengan ASP dikurangkan kepada AS$28 berbanding AS$40 sebelum itu.
Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor sarung tangan getah setelah mengambil kira pembukaan semula ekonomi secara berperingkat akan meningkatkan semula pengeluaran sarung tangan getah pada suku berikutnya.
"Memandangkan syarikat pengeluar sarung tangan masing-masing sedang meningkatkan kapasiti, kami berpendapat, industri sarung tangan getah tempatan lebih bersedia memenuhi permintaan daripada kemungkinan peralihan pandemik COVID-19 kepada endemik," tambahnya.
Dari segi ASP, jelasnya, pemain industri menjangkakan ia hanya kembali stabil pada 2022, dan kemungkinan jatuh sedikit demi sedikit ke tahap sebelum pandemik.
Sejak akhir-akhir ini, ASP telah menurun sebanyak 30% bagi setiap suku dan ia dijangka berlegar sekitar AS$35 per 1,000 keping, yang mana masih di atas paras sebelum wabak itu tercetus.
"Berdasarkan kepada pemain baharu industri sarung tangan getah China, kami berpendapat dari perspektif jangka panjang, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran getah asli lateks.
"Tambahan pula, pengeluaran getah asli lateks China sentiasa terganggu dengan keadaan cuacanya yang beriklim 4 musim," katanya.
Di sebalik terdapat kemungkinan pendapatan akan terjejas disebabkan peningkatan vaksinasi di peringkat global, namum MIDF Research yakin industri sarung tangan getah kekal kompetitif pada suku berikutnya meskipun perlahan.
Setakat ini, firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Hartalage dengan harga sasaran RM8.40, tetapi sebaliknya mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Kossan (harga sasaran RM3.31), Supermax (harga sasaran : RM2.72 dan Top Glove (harga sasaran : RM3.23) dengan mengambil kira penurunan ASP sebagai risiko utama. - DagangNews.com