Tiada pihak ketiga urus program Rekalibrasi PATI - KSM | DagangNews Skip to main content

Tiada pihak ketiga urus program Rekalibrasi PATI - KSM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan tidak melantik pihak ketiga atau mana-mana vendor untuk menguruskan program-program di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). 

 

Tegas Kementerian Sumber Manusia (KSM), ini melibatkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang yang dilaksanakan bermula 16 November 2020.

 

“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. 

 

“Kementerian memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas pihak yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI bagi mengelakkan berlakunya manipulasi terhadap majikan atau PATI yang terlibat,” kata KSM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Rekalibrasi PATI merupakan kerjasama antara dua kementerian iaitu KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

 

Sejak program tersebut bermula, KSM yang bertanggungjawab untuk meluluskan kuota kelayakan telah menerima sebanyak 113 permohonan majikan melibatkan sebanyak 17,292 permohonan kuota untuk menggajikan pekerja asing. 

 

“Tindakan undang-undang di bawah Seksyen 7, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” tambah KSM. - DagangNews.com