Tiada sebab naikkan caruman, nilai dahulu tahap ketelusan Perkeso - NUBE | DagangNews Skip to main content

Tiada sebab naikkan caruman, nilai dahulu tahap ketelusan Perkeso - NUBE

Perkeso

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Mac. - Cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar caruman untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tempoh terdekat dilihat sebagai satu cadangan yang tidak bersebab.

 

Setiausaha Agung Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon berkata, sebelum mencadangkan perkara itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) terlebih dahulu perlu menilai tahap ketelusan Perkeso dalam aspek pengurusan dana.

 

"Alasan Saravanan ini untuk menaikkan caruman Perkeso amat tidak masuk akal, malah alasan ini harus dijadikan sebab untuk tidak menaikkan caruman Perkeso.  

 

"Jumlah pencarum Perkeso bertambah setiap tahun, malah pekerja asing turut mencarum dengan Perkeso, justeru tidak ada sebab untuk menaikkan caruman.  

 

"Sebelum membicarakan keperluan menaikkan caruman, Menteri Sumber Manusia harus terlebih dahulu menilai tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban Perkeso dalam menguruskan dananya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mencadangkan untuk menaikkan kadar caruman Perkeso mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dalam masa terdekat.

 

Menurut beliau, caruman itu mungkin ditingkatkan dalam RM1 atau RM2 yang dijamin tidak akan membebankan pencarum.

 

Nilai caruman Perkeso tidak pernah ditingkatkan sejak 1971 hingga hari ini.

 

Mengulas lanjut berkaitan dengan isu dana, Solomon berkata, pihaknya mendapati bahawa Perkeso tidak menguruskan dana termasuk caruman pekerja dengan berhemah.

 

J. Solomon
J. Solomon 

 

Susulan itu, pihaknya melihat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan khas mengenai pengurusan dana Perkeso.

 

Katanya, Perkeso dibelenggu beberapa pelaburan yang buruk dan perbelanjaan yang membazir sejak sekian lama.

 

"Organisasi ini juga ghairah melabur dalam projek-projek mahal dengan menggunakan dana Perkeso. Pengurusan kewangan Perkeso lemah dan  amat perlu disiasat oleh kerajaan secara telus.

 

"Untuk sekian lama, rakyat mengikuti pelbagai kes melibatkan ahli Perkeso menghadapi pelbagai kerenah birokrasi dan terpaksa melalui lapisan demi lapisan pemeriksaan perubatan untuk mendapatkan bantuan Perkeso.  

 

"Permohonan mereka kerap ditolak oleh Perkeso atas pelbagai alasan yang tidak adil. Ada ahli Perkeso terpaksa ke mahkamah untuk menuntut keadilan daripada organisasi itu bagi mendapatkan bantuan bulanan beberapa ratus ringgit," ujarnya.

 

Dalam kenyataan yang sama, beliau menambah, Perkeso turut membazirkan berjuta-juta ringgit untuk projek yang tidak diperlukan termasuk pembelian pelbagai aset menggunakan dana Perkeso yang akhirnya gagal membawa pulangan yang disasarkan. 

 

Beliau mengambil contoh pembinaan pusat rehabilitasi di Ipoh yang menyaksikan kegagalan Perkeso melaksanakan amanah melindungi pekerja secara berhemah.

 

Menurutnya, projek berkenaan seharusnya dibiayai dengan peruntukan terus daripada kerajaan, bukannya menggunakan wang caruman pekerja dan majikan yang sepatutnya dilaburkan dalam projek yang boleh memberikan manfaat langsung kepada keseluruhan warga pekerja. 

 

Kos projek berkenaan dianggar meningkat sekitar 20%-30% seperti yang berlaku dalam pembinaan pusat pemulihan Perkeso di Melaka.

 

Jelasnya, semua itu menunjukkan seolah-olah Menteri Sumber Manusia dan pengurusan  Perkeso tidak mempunyai rasa empati terhadap para pencarum.

 

"Mereka tidak menunjukkan tahap amanah tinggi untuk menjaga kepentingan ahli Perkeso dan kini bercadang menaikkan caruman untuk memperolehi lebih banyak dana, manakala budaya pembaziran dan ketidakbertanggungjawaban dalam menguruskan simpanan ahli Perkeso berterusan. 

 

"NUBE mendesak Saravanan untuk mempamerkan keprihatinan dan memahami bagaimana rakyat dan pekerja terkesan semasa pandemik COVID-19 dan tidak hanya selesa membuat pengumuman menaikkan caruman untuk Perkeso dari menara gading mereka," tambahnya lagi. - DagangNews.com