Tiada sekatan lambakan import barangan runcit - Menteri KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Tiada sekatan lambakan import barangan runcit - Menteri KPDNHEP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Pihak kerajaan tiada perancangan untuk menyekat atau mengenakan cukai tertentu ke atas barangan import terutamanya runcit yang dikhuatiri menjejaskan produk tempatan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi menekankan bahawa Malaysia mengamalkan dasar perdagangan yang terbuka. 

“Buat (masa) sekarang, kita tiada dasar untuk menyekat lambakan atau melarang serta mengenakan cukai tertentu. Kita boleh lihat sekiranya betul-betul (dapat) membantu dan melindungi usaha peniaga.

“Tetapi, secara dasarnya, prinsip dagangan Malaysia lebih kepada ‘trading nation’ yang mempunyai peraturan tertentu,” kata beliau dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hassan Arifin (BN-Rompin) yang mempersoalkan sekiranya kerajaan akan menyekat atau mengenakan cukai ke atas barangan import yang dapat memberi persaingan atau kesan ke atas produk usahawan tempatan.

Tambah beliau, nilai jualan produk-produk tempatan menerusi pasaran dalam talian pada suku ketiga juga mencatatkan peningkatan sehingga 485% berbanding suku pertama. 

Suku ketiga mencatatkan nilai jualan sehingga RM43.5 juta berbanding RM7.4 juta pada suku pertama. 

“Justeru, kempen membeli barangan buatan Malaysia begitu penting dan mampu menggerakkan semula permintaan domestik dan sektor pecutan untuk pulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19,” kata beliau. - DagangNews.com