Tiada usaha sama tubuh bank baharu di Kemboja - Public Bank | DagangNews Skip to main content

Tiada usaha sama tubuh bank baharu di Kemboja - Public Bank

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kumpulan Public Bank Berhad mengesahkan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam usaha sama untuk menubuhkan sebuah bank baharu di Kemboja. 

 

Laporan itu mula timbul apabila bekas Ketua Serantau Operasi Indo-China Public Bank, Datuk Phan Ying Tong terlibat dalam perjanjian penubuhan baharu berkenaan. 

 

Nama Public Bank turut terpalit dalam perkembangan tersebut. 

 

“Kumpulan Public Bank ingin menjelas lanjut bahawa Ying Tong telah bersara daripada semua jawatannya dalam kumpulan syarikat dan bukan lagi Ketua Serantau Operasi Indo-China Public Bank.

 

“Ekoran perletakan jawatannya, beliau tidak lagi mempunyai hak untuk mewakili Kumpulan Public Bank dalam apa jua perkara,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, G Capital Berhad berkata, pihaknya telah menerima kelulusan prinsip daripada bank pusat Kemboja untuk membangunkan bank komersial di negara berkenaan dengan beberapa rakan kongsi lain. 

 

Perjanjian usaha sama berkenaan melibatkan dua pihak iaitu Ying Tong dan juga firma Kemboja, E S Packaging Co Ltd.

 

Menerusi usaha sama berkenaan, G Capital menjelaskan pihaknya akan memegang tidak kurang daripada 20% terbitan saham syarikat baharu itu, manakala Ying Tong pula mempunyai 51% kepentingan dan E S Packaging (20%). 

 

Selebihnya akan dipegang oleh pelabur tambahan yang bakal dikenal pasti oleh Ying Tong dan firma Kemboja berkenaan. - DagangNews.com