Tidak goyah dengan Cukai Makmur, pelabur asing terus beli ekuiti buat minggu ke-5 | DagangNews Skip to main content

Tidak goyah dengan Cukai Makmur, pelabur asing terus beli ekuiti buat minggu ke-5

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan buat minggu kelima berturut-turut berjumlah RM67.94 juta, di sebalik pengumuman kerajaan mengenai cadangan pelaksanaan Cukai Makmur.

 

Malah, laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan pembelian ekuiti pelabur asing bagi minggu berakhir 5 November itu adalah lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya, RM1.44 juta. 

 

Pelabur asing, katanya, membeli bersih ekuiti hampir kebanyakan hari sepanjang minggu lalu walaupun hari dagangan yang pendek berikutan cuti umum Deepavali.

 

Ia menyaksikan aliran masuk tertinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM87.07 juta manakala aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Rabu, sebanyak RM94.2 juta.

 

"Ini membuktikan pelabur asing tidak tergugat dengan pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan Cukai Makmur, dan mereka terus membeli ekuiti tempatan. 

 

"Pelabur asing membeli bersih ekuiti sebanyak RM14.97 juta apabila pasaran dibuka Isnin lalu meskipun sentimen pasaran berubah kepada negatif ekoran pengumuman berkenaan," katanya hari ini. 

 

Pada 29 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.

 

Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.

 

MIDF berkata, pelabur institusi tempatan pula menjual bersih ekuiti sebanyak RM329.7 juta manakala pelabur runcit membeli RM314.3 juta apabila pasaran dibuka pada Isnin (1 November). 

 

Katanya, pelabur runcit membeli bersih ekuiti setiap hari sepanjang minggu lalu dengan pembelian tertinggi direkodkan pada Isnin dan terendah pada Selasa dengan masing-masing sebanyak RM314.3 juta dan RM32.22 juta.

 

"Bagi minggu berakhir 5 November itu, mereka membeli ekuiti dalam pasaran tempatan bernilai RM469.34 juta," tambahnya.

 

Pelabur institusi tempatan pula sebaliknya menjual sebanyak RM536.82 juta ekuiti pada minggu lalu.

 

"Mereka paling menjual ekuiti pada Isnin sebanyak RM329.7 juta manakala aliran keluar paling rendah direkodkan pada Selasa sebanyak RM92.06 juta," katanya.

 

Menurut firma itu, sejak awal tahun, pelabur runcit secara terkumpul merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan sebanyak RM11.17 bilion. 

 

Namun, pelabur institusi tempatan dan asing pula masing-masing menjual ekuiti sebanyak RM9.06 bilion dan RM2.11 bilion. 

 

Secara keseluruhan, indeks utama FBM KLCI minggu lalu susut 1.46% untuk berakhir pada 1,531.73 mata manakala bagi ringgit pula, ia menyusut kira-kira 0.46% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.1595 pada Jumaat lalu. - DagangNews.com