Tidak mahu GST! Tidak mahu SST! Tidak mahu apa-apa cukai !!?? | DagangNews Skip to main content

Tidak mahu GST! Tidak mahu SST! Tidak mahu apa-apa cukai !!??

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

SEJAK kebelakangan ini, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran supaya mengembalikan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Ini kerana dalam usaha pemulihan ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19, kerajaan perlukan sumber kewangan daripada apa sahaja sumber yang boleh dicapai.

 

Ini belum lagi dikira dengan kehilangan hasil cukai RM5 bilion setahun dari segi cukai rokok berikutan berleluasanya pasaran rokok seludup di negara ini. Sudah kedengaran kritikan terhadap penubuhan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) yang senyap sunyi sejak diumumkan pada November lalu dalam Belanjawan 2021.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa menerangkan ‘Strategi Pemulihan Ekonomi Negara’ susulan pengumuman pakej stimulus Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) oleh Perdana Menteri, baru-baru ini, menyatakan GST tidak akan diperkenalkan semula setakat ini.

 

zafrul
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

“Kerajaan tiada sebarang cadangan untuk membuat perubahan kepada sistem percukaian sedia ada, ataupun memperkenalkan cukai baharu, bagi menambah pendapatan negara yang terjejas akibat COVID-19.

 

“Ia termasuk cadangan sesetengah pihak untuk melaksanakan kembali GST, yang telah dimansuhkan sebelum ini.

 

“Buat masa kini, kita masih lagi kaji semua jenis cukai yang dapat tingkatkan hasil negara. Tetapi bagi saya, rakan-rakan saya, kami fikir timing is important. Kita percaya bila ekonomi baru saja nak pulih, bukan masanya untuk memperkenalkan cukai baharu, atau apa-apa perubahan pada sistem cukai yang ada,” ujar beliau.

 

Isu cukai merupakan satu daripada faktor tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Mei 2018, selain faktor-faktor lain seperti isu dakwaan skandal 1MDB, tingkah-laku tokoh tertentu yang memualkan rakyat dan banyak lagi.

 

Ya, anda tidak baca salah. Cukai adalah antara penyebab jatuhnya kerajaan BN! Ini adalah fakta, bukan main tembak saja. Begitu kuatnya bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada kadar 6 peratus, menghilangkan undi daripada golongan peniaga, terutamanya.

 

Setelah mengambil alih kuasa, kerajaan Pakatan Harapan kembali menggunakan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Yang nyata, SST tidak pernah mengurangkan harga barangan, dan paling teruk hasil pendapatan negara menyusut.

sst

Di sini kita sedar serangan terhadap GST tidak lebih daripada sekadar bermotifkan politik. Begitu kuatnya propaganda menentang GST, hinggakan semua terpengaruh menolaknya menerusi peti undi.

 

Sebagai rakyat yang tertekan dengan kemelut ekonomi, perkhabaran kerajaan ini melegakan. Tetapi disebabkan faham bahawa hasil perolehan negara adalah menerusi cukai, kita perlu ada rasa ingin tahu.

 

Ini kerana seandainya sejarah kerajaan BN dengan GST itu tidak dijadikan iktibar, mungkin sejarah peradaban manusia dalam konteks percukaian boleh dijadikan panduan.

 

Secara umumnya, pelaksanaan cukai telah diamalkan sejak wujud peradaban manusia menggunakan sistem ketua sama ada feudal atau kerajaan seperti berikut:

 

1. Perang Naning

Fakta sejarah luar biasa berkaitan bantahan rakyat terhadap cukai boleh dilihat pada peristiwa Kebangkitan Naning (1831-1832). Naning hari ini adalah sebahagian daripada Alor Gajah, Melaka. Naning bukan sebuah kerajaan pun tetapi memiliki seorang pemimpin hebat iaitu Penghulu Datuk Dol Said.

 

Gabenor British, Robert Fullerton telah mengenakan cukai 1/10 daripada hasil ekonomi Naning kepada British. Perang Naning tercetus pada Julai 1831 dengan Dol Said menerima bantuan Rembau berjaya menewaskan askar Sepoi yang dilengkapi dua meriam.

 

merrepak
Makam Dato Dol Said yang bangkit menentang British kerana isu cukai.

 

Dol Said, sesungguhnya bukan calang-calang pendekar Melayu yang bangkit melawan kuasa penjajah, memaksa British menggunakan pelbagai cara sehinggalah menawarkan pengampunan kepada Dol Said agar berhenti berperang, berserta pencen dan rumah di Melaka.

 

2. Revolusi Amerika abad ke-18

Negeri-negeri jajahan British di Amerika menggunakan pelbagai kaedah penentangan cukai terhadap British yang menjadi titik punca Revolusi Amerika iaitu perang kemerdekaan Amerika. Kaedah itu termasuk Boston Tea Party (sabotaj terhadap kapal British), Hal Ehwal Gaspee, dan sebagainya.

 

merrepak

 

Sejarah juga mencatatkan tatkala negeri jajahan itu berjaya dikuasai patriot Amerika, mereka juga berdepan dengan bantahan cukai. Kes di Connecticut pada 1781, cukai diperkenalkan untuk mengumpul dana £288,233 tetapi hanya mendapat £40,000 disebabkan keengganan penduduk menyokong cukai tersebut.

 

3. Karl Marx, 1848

Semasa tercetusnya Revolusi Jerman pada 1848, golongan elit diraja dan tentera telah menghalang kerajaan pilihan rakyat daripada membentuk kerajaan, mengakibatkan Jerman tidak memiliki kerajaan yang sah. Kesan daripada majlis perwakilan tidak dapat bersidang di Berlin, kabinet Brandenburg tidak berhak melaksanakan pungutan cukai.

 

merrepak
Karl Max

 

Karl Marx, menerusi akhbar miliknya, Neue Rheinische Zeitung, menyiarkan dekri: "Bermula hari ini, cukai dihapuskan! Sesiapa yang membayar cukai adalah melakukan pengkhianat. Keengganan membayar cukai adalah tugas utama rakyat!’’

 

Marx kemudiannya didakwa di mahkamah kerana menghasut penentangan terhadap cukai tetapi dibebaskan berikutan penerimaan hujah pembelaannya bahawa 'tidak salah menggalakkan penentangan cukai terhadap kerajaan yang tidak sah".

 

4. Gandhi di India

Kempen pembebasan India dari tangan British oleh Mahatma Gandhi turut merangkumi pelbagai strategi penentangan terhadap cukai. Ini termasuk menyasarkan kepada cukai monopoli ke atas garam dan tekstil. Ini dilakukan dengan menghasilkan garam di luar sistem monopoli dan menenun kain di dalam rumah.

 

merrepak
Mahatma Gandhi

 

Pada 1930, penentangan cukai tersebut memuncak dengan protes berjalan kaki Salt March oleh Gandhi sejauh 390 kilometer ke Dandi untuk menghasilkan garam laut yang diharamkan oleh undang-undang British.

 

5. Tragedi Greek

Pada permulaan krisis hutang negara-negara Eropah pada 2011, beberapa kerajaan menaikkan cukai dan melaksanakan langkah berjimat-cermat yang tegas, dalam usaha menurunkan defisit bajet kerajaan dan memenuhi tuntutan agensi pinjaman antarabangsa.

 

Ia mencetuskan kebangkitan rakyat di Jerman, Greece dan beberapa negara lagi. Di Greek, semasa kempen pilihan raya 2015, Parti Syriza menganjurkan gerakan penentangan cukai dengan slogan Have Not, Pay Not menyasarkan cukai Enfia.

 

Tema penentangan cukai ini menjadikan Syriza popular, dan ramai percaya tidak perlu bayar cukai jika menang. Tetapi Syriza sedar dari mana hendak cari dana jika tidak menerusi cukai, maka parti itu terpaksa berpatah balik daripada janji pilihan rayanya.

 

merrepak

 

Bila tidak dapat meraih dana menerusi sistem percukaian, kerajaan Syriza menaikkan harga tiket, caj tol dan utiliti. Pada 2017, dianggarkan 40 peratus rakyat Greek tidak mampu (atau tidak mahu) membayar bil utiliti. Akibatnya, rakyat menentang Syriza. Rakyat berperang dengan pihak keselamatan. Keadaan di Greek menjadi porak-poranda.

 

Tiada siapa suka cukai. Tetapi membayar cukai adalah kewajiban kita sebagai rakyat Malaysia. Tiada cukai bermakna negara tiada hasil pendapatan. Bila tiada hasil pendapatan, banyak projek infrastruktur rakyat akan terbengkalai. Kita harus jadi warga negara yang bijak memikirkan situasi ini. Jangan baca tajuk sahaja. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com, yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu I'm Coming Home oleh Skylar Grey  berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.