Time dotCom optimis terhadap prospek pertumbuhan tahun ini - HLIB Research | DagangNews Skip to main content

Time dotCom optimis terhadap prospek pertumbuhan tahun ini - HLIB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Time dotCom Berhad kekal optimis terhadap prospek pertumbuhannya tahun ini selaras dengan kemajuan ekonomi semasa.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kumpulan itu merekodkan untung bersih teras sebanyak RM192 juta bagi 1HFY22, di bawah unjurannya sebanyak 44% tetapi sejajar dengan konsensus pada 46%.

 

"Pendapatan lebih rendah daripada jangkaan itu adalah disebabkan margin pendapatan sebelum cukai faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA)," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi 2QFY22 meningkat 27.63% kepada RM118.28 juta daripada RM92.67 juta setahun lalu.

 

Keuntungan itu didorong oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen data dan pusat data serta keuntungan bersih yang lebih besar daripada pertukaran asing berjumlah RM27.1 juta.

 

Hasil suku tahun meningkat 7.61% kepada RM373.59 juta daripada RM347.18 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan hasil data berulang yang lebih tinggi, yang berkembang sebanyak RM29.3 juta atau 11.4% dan hasil pusat data yang meningkat sebanyak RM7 .5 juta atau 11.6%.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu kekal optimis dengan prospek perkembangan mereka didorong oleh perkembangan ekonomi Malaysia.


"Keutamaan kumpulan adalah mengekalkan ketersediaan dan kestabilan rangkaian.

 

"Mereka komited meneruskan pengembangan rangkaian dan inovasi produk untuk merebut peluang dalam pasaran tempatan serta serantau," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM5.16 berbanding RM5.37.

 

HLIB menyukai kumpulan itu kerana segmen runcitnya mengekalkan momentum pengembangan dan produk bernilai tinggi.

 

"Selain itu, pusat data berkembang dengan berdaya tahan apabila penyumberan luar IT, pengkomputeran awan dan virtualisasi diterima pakai secara meluas," katanya. - DagangNews.com