Tindakan tegas terhadap stesen minyak jual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan Singapura dan Thailand | DagangNews Skip to main content

Tindakan tegas terhadap stesen minyak jual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan Singapura dan Thailand

Gambar kereta berplat Singapura siap dijongket semasa mengisi minyak di Malaysia, mendapat perhatian pihak berkuasa kerana larangan menjual petrol bersubsidi.

PUTRAJAYA 3 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum mengenai gambar yang tular mengaitkan sebuah kenderaan dengan plat nombor negara sempadan yang dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesyen minyak di dalam negara.

 

Berdasarkan aduan yang turut tular, kenderaan itu yang mempunyai  plat nombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi minyak petrol  menggunakan nozel berwarna kuning yang disyaki minyak Petrol RON 95 yang merupakan minyak bersubsidi.

 

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian memandang serius isu ini dan beliau sudah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta-merta.

 

''Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Nanta berkata, aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran OPS PANTAU 2022 hari ini.

 

Selain memastikan bekalan  barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, OPS PANTAU 2022 turut akan memastikan pematuhan yang tinggi oleh para peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan Negara yang bermula 1 April 2022.

 

''KPDNHEP dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan Petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing,'' katanya.

 

Kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP Negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) yang memperuntukkan penalti bagi:-
a) individu - didenda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun (atau kedua-dua sekali)
b) perbadanan/syarikat - didenda tidak melebihi RM2 juta ringgit 

 

Orang ramai adalah digalakkan untuk membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya. - DagangNews.com