KUALA LUMPUR 29 Julai - Titijaya Land Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Maybank yang menawarkan Maybank MyDeco Financing iaitu satu penyelesaian pembiayaan kepada pembeli rumah.
Menurut kenyataan media hari ini, Titijaya berkata skim tersebut embolehkan pembeli rumah mendapatkan pembiayaan rumah sehingga 90% daripada nilai hartanah.
Skim pembiayaan itu juga menyediakan tambahan 30% iaitu sehingga RM250,000 khusus diperuntukkan untuk reka bentuk dalaman rumah.
Katanya, pakej pemilikan rumah yang menyeluruh itu membolehkan pemilik rumah menambah baik ruang kediaman mereka, menjadikan pengubahsuaian rumah impian mereka lebih mudah diakses dan berpatutan.
Titijaya turut bekata tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun atau sehingga umur 70 tahun.
Pembiayaan tersedia sebagai Pinjaman Konvensional atau Pembiayaan Islam khas bagi pelanggan Pembiayaan Rumah Maybank atau Maybank Islamic yang sedia ada.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata skim pembiayaan MyDeco Financing itu akan memberi penyelesaian kepada pemilik rumah Titijaya satu dalam merealisasikan pengubahsuaian rumah impian mereka.
Selain itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan menerangkan Maybank MyDeco akan memberikan pemilik rumah baharu dengan kecairan tambahan dan akses segera kepada dana untuk mereka bentuk dalaman rumah mereka, termasuk perabot, peralatan dan hiasan.
"Penyelesaian ini mengurangkan kekangan kewangan bagi pemilik rumah baharu, memberi peluang kepada mereka mengubah rumah yang baru dibeli menjadi rumah impian mereka.
"Pembiayaan Maybank MyDeco mencerminkan komitmen kami untuk memanusiakan perkhidmatan kewangan, dengan menyediakan penyelesaian bagi memenuhi semua keperluan pelanggan kami serta menyediakan perkhidmatan pemilikan rumah menyeluruh di luar tawaran perbankan kami," ujarnya semasa berucap di majlis itu hari ini.
Selain MoU yang ditandatangani dengan Maybank, Titijaya juga mengumumkan pada hari Sabtu (2024 Julai 27) pencapaian kadar langganan 100% untuk Fasa 1 Riveria City, projek syarikat itu di Kuala Lumpur Sentral.- DagangNews.com