TIV 2024 diunjur menyusut sebanyak 18.7% kepada 650,000 unit | DagangNews Skip to main content

TIV 2024 diunjur menyusut sebanyak 18.7% kepada 650,000 unit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - Jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) diunjur menyusut sebanyak 18.7% kepada 650,000 unit pada tahun ini.

 

TA Securities berkata, unjuran itu adalah berdasarkan ketiadaan insentif cukai selain jumlah buku pesanan semakin berkurangan.

 

Katanya, TIV pada Februari 2024 mencatatkan penurunan sebanyak 4.1% dari bulan ke bulan dan 1.1% dari tahun ke tahun kepada 62,800 unit disebabkan faktor bermusim seperti hari bekerja yang singkat disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina. 

 

"Segmen kenderaan penumpang mencatatkan penurunan sebanyak 2.4% dari bulan ke bulan kepada 58,000 unit manakala segmen kereta komersial menjunam 20.5% kepada 4,900 unit.

 

"Sehingga kini TIV berjumlah 128,300 unit dipacu oleh segmen kereta penumpang dengan 117,300 unit, manakala bagi segmen kenderaan komersial, ia menyusut sebanyak 13.8% kepada 11,000 unit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, Perodua mencatatkan jumlah jualan lebih rendah sebanyak 27,300 unit (-8.0%) pada Februari 2024 manakala Proton mencatatkan jumlah jualan lebih tinggi sebanyak 13,300 unit.

 

Katanya, gabungan bahagian pasaran kereta nasional meningkat kepada 65% berbanding 63% dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Sementara itu, TA Securities berkata, jumlah jualan kereta yang lebih tinggi daripada Toyota (5,400 unit) dan Mazda (1,700 unit) telah membantu mengimbangi jumlah jualan yang lebih rendah daripada jenama kereta bukan nasional yang lain.

 

Katanya jumlah jualan Volkswagen turun sebanyak 33.8% dari bulan ke bulan kepada 102 unit, manakala Honda dan Nissan masing-masing susut sebanyak 846 unit dan 114 unit kepada 6,200 unit dan 481 unit.

 

"Secara keseluruhan, segmen jenama kereta bukan nasional telah mencatatkan TIV yang lebih tinggi sebanyak 17,400 unit dan sehingga kini jualan meningkat sebanyak 17.4% kepada 34,300 unit.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu," katanya. - DagangNews.com