Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Telekom Malaysia Bhd (TM) dan anak syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) memeterai perjanjian untuk bekerjasama membawakan pengalaman digital berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata menerusi kerjasama strategik ini, TM menerusi TM WHOLESALE akan menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), 'bandwidth', 'backhaul' dan akses Internet kepada Astro.
Katanya, infrastruktur rangkaian fiber yang meluas dan mantap ini akan membolehkan TM serta Astro menyediakan sambungan berkualiti tinggi yang diyakini kepada pengguna akhir masing-masing.
"Sebagai pemacu infrastruktur digital di Malaysia, kami sentiasa menjadi pendukung kuat kepada perkongsian infrastruktur.
"Kerjasama strategik ini juga mencerminkan komitmen kami dalam memastikan seluruh rakyat Malaysia menerima pengalaman sambungan yang lancar dan ‘sentiasa tersedia’ (always-on). Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan Astro dan ini merupakan satu lagi bukti peranan penting kami sebagai penggerak aspirasi Digital Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerjasama di antara dua syarikat telekomunikasi itu turut menzahirkan komitmen kedua-dua syarikat menyokong inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menyediakan liputan jalur lebar yang lebih meluas dan pengalaman lebih baik di seluruh negara.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, dengan perkhidmatan HSBB TM, Astro turut berupaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada pelanggannya tanpa perlu menbangunkan infrastruktur baharu sambil memperluaskan liputannya ke kawasan yang lebih luas di seluruh negara melalui rangkaian fiber.
“Kerjasama strategik bersama TM ini membina asas bagi Astro untuk menjadi pembekal perkhidmatan internet di Malaysia yang menyediakan pengalaman digital dan penawaran nilai jalur lebar terbaik.
"Ia membolehkan Astro merealisasikan aliran pendapatan baharu, menyesuaikan perkhidmatan jalur lebar kami dengan himpunan kandungan atau jalur lebar secara berasingan serta rangkaian produk lain," ujarnya. -DagangNews.com